MCA hari ini menganggap DAP sekadar berdrama dalam politik dan mengambil sikap marah secara terpilih dalam respons mereka terhadap Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata cubaan DAP untuk menggambarkan mereka sebagai satu-satunya pembela masyarakat Cina adalah tidak meyakinkan.
Bahkan, kata Wee, DAP juga menggunakan retorik perkauman dan agama apabila sesuai secara politik.
Wee memetik ucapan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, dan naib pengerusi parti itu, Nga Kor Ming, yang didakwanya dikritik kerana menghina kaum dan agama tertentu.
“Oleh itu, DAP harus menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kemarahan berpilih dan sandiwara politik.
“MCA bersedia untuk mengatur tayangan peribadi ucapan dan kenyataan ini untuk sesiapa sahaja yang mudah lupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, dua ahli parlimen DAP menuntut MCA menyatakan pendirian terhadap kenyataan Sanusi yang mengaitkan rakyat Malaysia keturunan India dan Cina dengan negara asal mereka.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mempersoalkan sikap Wee yang berdiam diri sebelum ini.

Terdahulu Presiden MIC, SA Vigneswaran, menegaskan bahawa kenyataan Sanusi itu membuktikan mengapa BN perlu bergerak secara solo dan tidak bekerjasama dengan PN – yang kini dikuasai PAS.
Wee hari ini turut mengkritik prestasi DAP dalam kerajaan dengan mendakwa isu-isu seperti peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi, pendidikan dan cabaran yang dihadapi oleh perniagaan masih belum dapat diselesaikan walaupun terdapat janji-janji berulang kali.
Pada masa sama, Wee juga menggesa Sanusi untuk segera menjelaskan kenyataan yang dibuatnya semalam kerana dianggap mempersoalkan kesetiaan orang Cina Malaysia.
Mahukan negara yang stabil, sederhana
Wee berkata kenyataan sedemikian harus dielakkan kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan mewujudkan salah faham.
“Kenyataan itu yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah (Sanusi) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Cina Malaysia.
“Kenyataan sedemikian tidak membantu perpaduan negara dan hanya mewujudkan salah faham yang tidak perlu pada masa negara memerlukan perpaduan yang lebih erat,” katanya.
Wee juga menekankan bahawa Malaysia adalah milik semua warganegaranya tanpa mengira kaum atau wilayah.
“Orang Cina Malaysia, Melayu, India, Sabah, Sarawak dan setiap komuniti lain adalah rakyat negara ini. Malaysia adalah satu-satunya tanah air kita,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata perbincangan awam mengenai kenyataan Sanusi mestilah adil dan berdasarkan konteks penuh apa yang dikatakan.
“Jika kenyataan Sanusi telah disalahertikan atau ditafsirkan secara tidak tepat, beliau harus menjelaskan kenyataannya dengan segera supaya ketegangan yang tidak perlu dapat diredakan,” tambahnya.
Wee berkata MCA secara konsisten memang menentang retorik perkauman, tidak kira sama ada ia datang daripada lawan politik atau sekutu.
“Prinsip kami tidak berubah mengikut identiti atau gabungan politik orang yang membuat kenyataan itu,” katanya.
Dia menambah kerjasama MCA dengan parti-parti politik lain adalah berdasarkan sikap saling menghormati serta semangat Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan hak serta kepentingan semua rakyat Malaysia.
Wee berkata MCA akan terus mempertahankan hak dan kepentingan sah masyarakat Cina sambil berusaha ke arah Malaysia yang stabil, sederhana dan inklusif.
“Kami menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut garis kaum atau agama, tanpa mengira dari mana asalnya.
“Tumpuan kita haruslah kepada memperkukuh perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan menangani cabaran sebenar yang dihadapi negara daripada mengeksploitasi kaum dan agama untuk naratif politik yang seterusnya mempolarisasikan masyarakat,” katanya.
