Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket 'counter-setting' didakwa rentasi Johor ke KLIA

Sebelum ini di Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan pihak berkuasa sukar untuk membuktikan sama ada sindiket counter-setting masih aktif beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau tidak.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, KDN berkata Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sentiasa komited untuk memerangi rasuah dan memperkukuh kawalan sempadan.

Pada masa sama KDN mengaku pihak berkuasa sukar mengumpul bukti bagi mengesahkan sindiket berkenaan masih beroperasi secara aktif di KLIA.

Dimaklumkan juga KDN mengambil pelbagai langkah tegas termasuk penggiliran pegawai secara berkala, pemeriksaan mengejut, penggunaan kamera badan, pemantauan CCTV berteknologi kecerdasan buatan (AI), serta peluasan pintu automatik bagi mengurangkan campur tangan manusia.

Pada masa sama Malaysiakini diberitahu sindiket terbabit masih aktif mengatur urusan membawa masuk warga asing dari sempadan di Johor sebelum mereka meninggalkan negara ini melalui KLIA.

Berdasarkan laporan polis yang dlihat Malaysiakini – bertarikh 15 dan 17 Julai lalu – terdapat sekurang-kurangnya empat warga asing dari China, Pakistan dan India ditahan di KLIA kerana memiliki dokumen perjalanan dengan cop masuk meragukan dari pintu sempadan di Johor.

Satu laporan polis dibuat di Terminal 1 KLIA pada 15 Julai mendakwa seorang rakyat China mempunyai cop masuk fizikal dalam pasportnya, namun semakan sistem MyImms menunjukkan rekod kemasukan wanita terbabit melalui Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor adalah tidak teratur.

Tidak sampai sejam kemudian, di Terminal 2 KLIA, seorang lelaki warga India yang dijadual berlepas ke Kolkata berada di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan dalam pas lawatan sosialnya.

Pas tersebut dikeluarkan pada 22 Nov tahun lalu dan sah hanya selama 30 hari.

Ada nombor siri unik

Lelaki terbabit ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depoh Imigresen KLIA2.

Tangkapan seterusnya berlaku pada jam 5.30 petang di Terminal 1 KLIA membabitkan seorang lelaki Pakistan yang ditahan bersama pas lawatan sosial 30 hari dari BSI Johor.

Dokumen berkenaan dipercayai diperoleh secara tidak sah.

Pada jam 9.30 malam di Terminal 2 pula, seorang pegawai imigresen membuat laporan polis mendakwa seorang wanita warga India yang mahu berlepas ke Singapura telah ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati individu terbabit memegang endorsemen pas lawatan sosial dari BSI Johor bertarikh 5 Julai dan dipercayai diperoleh tanpa mengikut peraturan.

Pada 17 Julai pula, dua laporan polis dibuat ke atas tiga warga India yang cuba berlepas dari Malaysia dengan dokumen yang meragukan.

Semua enam laporan polis dibuat dalam dua hari itu mengaitkan warga asing terbabit dengan cop dari BSI Johor.

Untuk rekod, setiap cop imigresen mempunyai nombor siri yang tersendiri, justeru mana-mana pegawai yang menggunakannya boleh dikenal pasti.

Sementara itu, sumber dalaman Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya memberitahu pihaknya membuat tangkapan hampir setiap minggu membabitkan cop flying dari BSI.

Bagaimanapun, katanya, individu terbabit tidak dapat didakwa di mahkamah kerana cop tersebut sememangnya tulen.

"Dalam worst case scenario, dia hanya direman 14 hari sahaja untuk siasatan," katanya.

Sumber lain dari Johor pula memberitahu dalang dalam kegiatan itu tidak bimbang jiwa warga asing terbabit ditahan di KLIA kerana pihak pembekal cop rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di peringkat negeri tidak dipantau secara agresif atau ditangkap.

Kenal pasti elemen jenayah

Dia juga mendakwa keberkesanan teknologi kawalan keselamatan di KLIA masih boleh ditembusi dengan kaedah tertentu dan ia tidak akan disedari.

"Kebanyakan kes tangkapan di KLIA sebenarnya bukan hasil kecekapan sistem pemantauan sedia ada sebaliknya kesilapan teknikal melibatkan warga asing terbabit atau mereka ditipu ejen.

“Satu lagi kemungkinan ialah mereka dikesan oleh pasukan petugas khas syarikat penerbangan pada saat-saat akhir di pintu pelepasan,” katanya.

Ketua Polis Daerah KLIA, M Ravi, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berkenaan tangkapan warga asing terbabit pada 15 dan 17 Julai lalu.

"Saya sahkan kami terima laporan polis tersebut," katanya.

Tambah Ravi, AKPS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes-kes berkenaan bagi mengenal pasti sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta isu salah guna kuasa.

Malaysiakini telah menghubungi AKPS serta KDN untuk mendapatkan komen berhubung pendedahan dokumen berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS