Anak muda itu kelihatan terhuyung-hayang, menjadi kaku sebelum tiba-tiba rebah. Seorang lagi pula kelihatan terpaku tanpa sebarang respons ketika menghisap rokok elektronik (vap) sambil bersiaran langsung di platform media sosial.
Klip video berkenaan tular dan meraih ratusan ribu tontonan, dan antara ribuan komen yang menyertai klip video itu ialah penggunaan piu-piu atau piao-piao, sejenis dadah sintetik yang diselindungkan di dalam cecair vap (vape).
Penularan piu-piu dalam kalangan anak muda di negara ini kian membimbangkan, demikian menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Polis Selangor menerusi perkongsian di laman Facebooknya, menyifatkan vap dengan kandungan piu-piu sebagai “nampak innocent (baik) namun amat berbahaya” kerana kesannya dirasai dengan amat pantas, iaitu hanya selepas beberapa sedutan; ketagihan cepat dan kesan sarak (withdrawal) yang teruk.
Piu-piu, kata mereka, berisiko menyebabkan sawan, masalah jantung dan pernafasan, namun ancaman paling berbahaya ialah dadah itu mudah disorok selain dijual murah di media sosial.
Pakar pula melihat wujud cabaran lebih besar dalam menangani piu-piu kerana pengambilan dadah itu adalah menerusi vap yang merupakan satu trend dan disokong atau digandingkan pula dengan media sosial.
Bahan terlarang
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengakui piu-piu sebagai kebimbangan baharu dalam penggunaan dadah di Malaysia.
Menurut agensi itu, piu-piu juga bukan dadah tradisional yang berasal daripada tumbuhan seperti ganja atau ketum, sebaliknya dadah sintetik yang dihasilkan melalui campuran bahan kimia dan disalahgunakan (disamarkan) sebagai cecair vap.
Istilah piu-piu dipercayai bahasa jalanan yang membawa maksud “seolah-olah melayang” atau “floating”, iaitu kesan khayal yang dialami pengguna.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata dadah itu turut mengandungi campuran fentanil dan mampu memberikan kesan khayal melampau sehingga menjadikan penggunanya berada dalam keadaan seakan-akan 'zombi'.
Katanya PDRM melihat penggunaan vap kini disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa trend penyalahgunaan peranti vap sebagai medium penyebaran dadah berkenaan sangat membimbangkan kerana menyasarkan pelajar sekolah, golongan muda dan belia.
Mudah terpengaruh
Mengulas perkara itu, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Khairunesa Isa berkata fenomena penyalahgunaan dadah sintetik melalui vap perlu diberi perhatian serius dan tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil, terutamanya apabila melibatkan golongan muda.

Beliau berkata ini kerana dari sudut psikologi, golongan remaja berada pada fasa pembentukan identiti serta mencari sokongan daripada rakan sebaya, menyebabkan mereka lebih mudah terpengaruh untuk mengikut norma dan tingkah laku kumpulan, termasuk mencuba bahan terlarang.
"Pelbagai kajian menunjukkan pengaruh rakan sebaya boleh memberi kesan sama ada positif atau negatif terhadap perkembangan seseorang remaja.
"Sebagai contoh, kajian yang saya jalankan sebelum ini dalam kalangan mahasiswa mendapati pengaruh rakan sebaya mampu menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik. Namun, pengaruh yang sama juga boleh membawa kesan sebaliknya apabila mendorong remaja mencuba dadah semata-mata untuk diterima dalam kelompok rakan sebaya atau mengikut trend semasa," katanya kepada Bernama.
Menurut Khairunesa, isu penyalahgunaan dadah sintetik tidak boleh dilihat daripada satu faktor sahaja, sebaliknya harus dinilai secara menyeluruh berdasarkan pelbagai aspek yang mempengaruhi kehidupan remaja.
Beliau berkata berdasarkan Teori Ekologi Bronfenbrenner, tingkah laku seseorang dipengaruhi oleh pelbagai aspek persekitaran termasuk keluarga, rakan sebaya, sekolah dan media digital.
"Apabila tekanan emosi, pengaruh sosial, pendedahan kepada media sosial serta akses mudah kepada bahan berisiko berlaku serentak, kerentanan remaja terhadap penyalahgunaan dadah sintetik ini menjadi lebih tinggi.
"Justeru, usaha menangani isu ini perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem kehidupan remaja dan tidak hanya tertumpu pada individu atau satu faktor tertentu sahaja," katanya.
Mengulas peranan media sosial, Khairunesa berkata platform digital kini mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukan persepsi dan tingkah laku golongan muda, termasuk dalam isu penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, media sosial bersifat serampang dua mata kerana, selain menjadi medium menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, aplikasi itu juga berpotensi menormalisasikan tingkah laku berisiko.
"Pendedahan kepada kandungan yang memaparkan penggunaan bahan terlarang sebagai sesuatu yang biasa atau mengikut trend boleh mempengaruhi remaja, terutamanya mereka yang mempunyai sifat ingin mencuba yang tinggi.
"Keadaan itu secara tidak langsung meningkatkan risiko mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah sintetik," katanya.
Perubahan corak penggunaan dadah
Mengulas lanjut, Khairunesa berkata perubahan corak penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan remaja dan belia, turut dipengaruhi trend penggunaan vap.
Keadaan itu berbeza dengan dadah konvensional yang lebih mudah dikenal pasti dari segi bentuk dan corak penggunaannya, dadah sintetik lebih sukar dikesan kerana formulanya sering berubah dan kaedah penyampaiannya semakin pelbagai.
“Lebih membimbangkan, dadah itu disalurkan melalui vap, sekali gus menjadikannya sukar dikesan kerana kelihatan seperti penggunaan rokok elektronik biasa.
"Jika dahulu dadah sering dikaitkan dengan jenayah dan stigma masyarakat, kini ia diselindungkan melalui vap yang dianggap sebahagian daripada gaya hidup. Persepsi itu boleh menyebabkan sebahagian belia memandang ringan risiko penyalahgunaan dadah sintetik serta menganggapnya tidak berbahaya," katanya.

Berdasarkan statistik terkini AADK, sebanyak 73 peratus kes penyalahgunaan dadah di Malaysia kini didominasi oleh dadah sintetik, dengan golongan belia berusia 15 hingga 39 tahun merangkumi kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan pengguna bahan terlarang terbabit.
Menurut Khairunesa, kaedah penyalahgunaan dadah yang kini disalurkan melalui medium seperti vap menjadikan bahan itu lebih mudah diakses dan diterima, sekali gus mempengaruhi kecenderungan individu termasuk remaja untuk mencuba.
Pandangan senada turut disuarakan Timbalan Presiden Persatuan Kaunselor Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MADAC) Dr Engku Mardiah Engku Kamarudin, yang menyifatkan imej vap lebih moden dan bergaya, menyumbang kepada peningkatan kecenderungan golongan muda untuk mencubanya.
Beliau berkata meskipun pelbagai kajian saintifik menunjukkan penggunaan vap boleh memudaratkan kesihatan, persepsi bahawa ia kurang berbahaya berbanding rokok konvensional menyebabkan sesetengah remaja lebih berani mencubanya tanpa menyedari cecair vap yang digunakan mungkin mengandungi nikotin pada kepekatan tinggi, dadah sintetik atau bahan psikoaktif lain.
“Pada pandangan saya, perubahan terbesar dalam landskap penyalahgunaan dadah hari ini ialah cara bahan terlarang itu diperkenalkan kepada remaja, dengan dadah itu sendiri sukar dikenal pasti.
"Justeru, kita tidak lagi boleh bergantung pada pendekatan pencegahan yang digunakan sebelum ini. Sebaliknya usaha membendung penyalahgunaan dadah perlu diperkukuh melalui kawalan yang lebih tegas terhadap penyalahgunaan vap, di samping meningkatkan literasi kesihatan agar remaja mampu mengenal pasti risiko yang tersembunyi di sebalik produk tersebut," katanya.
Pelbagai kesan
Engku Mardiah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia, berkata penggunaan dadah yang dicampurkan ke dalam cecair vap boleh mengundang pelbagai kesan serius terhadap kesihatan fizikal dan mental pengguna.
Menurutnya, kandungan dadah sintetik dan bahan psikoaktif dalam cecair vape berpotensi menjejaskan fungsi otak, sekali gus mengganggu keupayaan seseorang mengawal tingkah laku serta, membuat pertimbangan yang rasional.

“Ini berlaku kerana bahan tersebut mengganggu fungsi bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap fungsi eksekutif, iaitu keupayaan untuk berfikir secara rasional, menilai risiko dan mempertimbang akibat sesuatu tindakan.
“Dalam keadaan normal, fungsi ini membantu seseorang berhenti seketika sebelum bertindak dan memikirkan sama ada sesuatu keputusan itu selamat atau tidak. Apabila fungsi tersebut terganggu, individu menjadi lebih cenderung bertindak mengikut dorongan emosi atau rangsangan semasa tanpa memikirkan akibatnya,’’ katanya.
Dalam sesetengah keadaan, individu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang berkemungkinan memandu dalam keadaan khayal, mencederakan diri sendiri, terlibat dalam pergaduhan atau membuat keputusan yang boleh membahayakan diri serta orang lain.
Beliau berkata tingkah laku berkenaan tidak semestinya menggambarkan keperibadian sebenar seseorang, sebaliknya boleh berlaku apabila fungsi otak yang mengawal pertimbangan, kawalan diri dan pembuatan keputusan terjejas akibat pengaruh dadah.
Selain itu, penggunaan bahan psikoaktif boleh memberikan kesan yang lebih serius apabila pengguna mengalami halusinasi atau delusi sehingga menjejaskan persepsi terhadap realiti.
Situasi itu mendorong individu mungkin mempercayai perkara yang tidak benar atau bertindak balas terhadap ancaman yang sebenarnya tidak wujud, sekali gus menyebabkan mereka melakukan tindakan di luar kawalan.
“Apabila otak remaja yang sedang berkembang terdedah kepada bahan psikoaktif, gangguan terhadap fungsi kawalan diri boleh menjadi lebih ketara berbanding orang dewasa.
“Gabungan antara perkembangan otak yang belum matang dengan kesan dadah sintetik boleh meningkatkan lagi kemungkinan mereka membuat keputusan yang membahayakan diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tahap kesan yang dialami tidak sama bagi setiap individu kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk jenis dadah yang digunakan, dos pengambilan, tempoh penggunaan, umur ketika mula terdedah kepada bahan terbabit serta keadaan kesihatan fizikal dan mental seseorang.
Beliau berkata dalam sesetengah kes, fungsi kognitif individu juga boleh menunjukkan pemulihan selepas mereka berhenti menggunakan bahan terlarang selain menerima rawatan dan sokongan pemulihan yang bersesuaian.
Pengharaman vap
Mengulas cadangan pengharaman vap, Engku Mardiah berkata langkah itu wajar dipertimbang berikutan peningkatan penyalahgunaan peranti berkenaan sebagai medium untuk memasukkan dadah sintetik dan bahan psikoaktif.

Beliau berkata kerajaan mempunyai peranan penting melalui penggubalan dasar, penguatkuasaan undang-undang, kawalan penjualan serta pemantauan rantaian bekalan bagi mengurangkan akses vap terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Bagaimanapun katanya, pengharaman semata-mata tidak mencukupi kerana ia hanya mampu mengurangkan bekalan tanpa menangani faktor yang mendorong permintaan terhadap bahan tersebut.
"Penyalahgunaan bahan terlarang ini bukan berpunca daripada kewujudan sesuatu produk sahaja, sebaliknya turut dipengaruhi faktor seperti tekanan emosi, pengaruh rakan sebaya, rasa ingin tahu, masalah keluarga, tahap literasi kesihatan yang rendah serta normalisasi penggunaan vape dalam masyarakat.
‘’Kerana itu sebarang tindakan pengharaman perlu disokong dengan pendekatan kesihatan awam yang menyeluruh menerusi pengukuhan pendidikan dan pencegahan, peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa serta guru, program pembangunan kemahiran hidup dan sokongan pemulihan yang mudah diakses bagi individu yang terlibat,’’ tambahnya.
PDRM sebelum ini menegaskan kemunculan piu-piu mewajarkan pengharaman peranti rokok elektronik, memandangkan vap kini disalah guna oleh sindiket dadah untuk mengaburi kegiatan mereka.
Tumpukan strategi faktor risiko
Mengulas lanjut, Engku Mardiah berkata strategi pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan faktor risiko antaranya akses mudah kepada vap dan bahan terlarang, selain tidak menormalisasikan penggunaan vap dalam masyarakat.
Beliau berkata pendekatan itu selari dengan prinsip utama yang digariskan dalam International Standards on Drug Use Prevention oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pada masa yang sama, kita juga perlu memperkukuh faktor pelindung dalam kehidupan remaja...faktor ini membantu remaja membuat keputusan yang sihat walaupun mereka berdepan pelbagai cabaran. Antaranya hubungan yang rapat dengan ibu bapa, kemahiran mengurus emosi dan tekanan, keyakinan untuk menolak pengaruh negatif, sokongan guru serta penghayatan nilai agama dan moral.
“Penyelidikan turut menunjukkan semakin banyak faktor pelindung yang dimiliki oleh seseorang remaja, semakin rendah risiko mereka terlibat dalam tingkah laku berisiko, termasuk penyalahgunaan dadah,’’ katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan perlu memperkukuh faktor pelindung dengan memperluas program pencegahan, meningkatkan literasi kesihatan, memperkasakan perkhidmatan kesihatan mental dan rawatan penyalahgunaan bahan terlarang selain melaksanakan pengesanan serta intervensi awal.
“Dalam bidang pencegahan penyalahgunaan bahan (terlarang), kita mengetahui bahawa intervensi yang paling berjaya menghalang seseorang daripada memulakan penggunaan, bukannya menunggu sehingga mereka mengalami ketagihan .
“Pencegahan sentiasa lebih berkesan sekali gus memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat berbanding rawatan selepas masalah menjadi serius,’’ tambahnya.
-Bernama
