Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tentera parah dibelasah kini dibenar keluar wad, ATM didakwa lepas tangan

Anggota Rejimen 22 Komando Kem Iskandar, Truper Abdul Hamid Talib, 25, yang mengalami kecederaan parah selepas didakwa dibelasah ketika menjalani hukuman di sebuah kem tentera di Mersing, Johor, kini berdepan kemungkinan dikeluarkan daripada wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Latheefa Koya, berkata PPUM memaklumkan Abdul Hamid dibenarkan keluar wad atas alasan kekurangan tempat, meskipun keadaannya masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Dia juga mendakwa ATM seolah-olah bersikap lepas tangan apabila tiada sebarang jaminan bantuan kebajikan atau penyediaan peralatan sokongan hayat diberikan.

"Dua surat permohonan penjelasan yang dihantar peguam kepada Pengarah PPUM pada 14 dan 22 Julai lalu langsung tidak dijawab.

"Hospital telah mengeluarkan senarai peralatan khas perubatan yang perlu disediakan sendiri oleh keluarga termasuk katil hospital, tilam khas, kerusi roda, portable suction machine (alat sedut kahak), susu nutrisi, dan pemantau tekanan darah.

"Siapa yang nak tanggung kos ini? Pihak tentera tak ambil apa-apa tanggungjawab. Keluarga terpaksa menyewa rumah lain dan mencari dana sendiri. Ini kelayakan yang diberikan kepada seorang perajurit negara?" katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah ibu mangsa, Josmah Duim, 54.

Abdul Hamid, yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah, mengalami kecederaan parah pada 12 Mac lalu dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Dia dilaporkan tidak mampu bergerak, bergantung kepada tiub makanan serta mengalami kerosakan tempurung kepala yang terpaksa digantikan dengan plat titanium.

Mangsa sebelum ini dipindahkan dari Hospital Angkatan Tentera ke PPUM atas alasan kemudahan fisioterapi yang lebih lengkap.

Menurut keluarga, Abdul Hamid yang sebelum ini bertubuh sasa kini kehilangan jisim otot sehingga keadaannya hanya tinggal kulit dan tulang.

Kenapa belum ada tangkapan?

Sementara itu, Latheefa turut mempersoalkan tindakan polis yang didakwa masih belum membuat sebarang tangkapan atau memberikan maklum balas berhubung dua laporan polis yang dibuat keluarga mangsa, termasuk laporan terbaharu pada 30 April lalu.

Menurutnya, dakwaan awal bahawa Abdul Hamid mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh dalam tandas adalah tidak munasabah berbanding tahap kecederaan fizikal yang dialaminya.

"Dakwaan awal bahawa mangsa kecederaan teruk akibat terjatuh dalam tandas adalah tidak munasabah berbanding tahap kecederaan fizikal yang dialaminya.

"Kecederaan ini adalah akibat sesuatu serangan yang begitu serius mungkin serangan yang berniat untuk membunuh.

"Dah berapa bulan laporan dibuat, langsung tiada respon daripada polis mahupun kerajaan. Sepatutnya ada siasatan dan tangkapan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan percubaan membunuh," katanya.

LFL dan keluarga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan, termasuk menggesa polis mengarahkan pasukan khas Bukit Aman mengambil alih siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan percubaan membunuh.

Mereka turut mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pertahanan memberikan maklum balas rasmi berhubung status kes serta tindakan PPUM yang didakwa mengarahkan pesakit keluar wad tanpa bantuan susulan yang mencukupi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS