Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pelihara keharmonian kaum walaupun semasa berpolitik

ULASAN | Dalam kehangatan kempen PRN Negeri Sembilan, suasana politik negara sekali lagi diuji dengan kemunculan kenyataan berunsur rasis sewaktu berkempen.

Hal sedemikian bukan sahaja mencetuskan polemik, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam sebuah negara yang dibina atas asas kepelbagaian etnik dan agama, retorik politik yang menyentuh sensitiviti kaum adalah sesuatu yang amat bahaya dan harus ditolak secara tegas.

Tidak dinafikan bahawa politik perkauman bukanlah fenomena baru dalam landskap politik Malaysia. Namun, dalam era moden yang menuntut kematangan demokrasi, pendekatan sebegini semakin tidak relevan.

Perlu diingatkan bahawa politik berasaskan ketakutan dan sentimen kaum boleh mengundang prasangka, kebencian serta menggugat keharmonian masyarakat.

Justeru, persoalan utama yang perlu direnung ialah, ke arah manakah hala tuju politik negara jika retorik perpecahan terus dijadikan modal kempen?

Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah negara bersama masyarakat majmuk yang stabil. Kepelbagaian kaum yang mewarnai demografi bukan sahaja membentuk identiti negara, malah menjadi kekuatan utama dalam pembangunan sosial dan ekonomi.

Namun, kestabilan ini tidak hadir secara semula jadi. Ia terbina melalui proses panjang yang dikenali sebagai akomodasi budaya, iaitu usaha menyesuaikan perbezaan demi mencapai keharmonian tanpa menghapuskan identiti masing-masing.

Memahami realiti politik negara

Dalam konteks ini, prinsip akomodasi memainkan peranan penting dalam interaksi antara masyarakat.

Pertama, akomodasi menuntut sikap toleransi yang tinggi. Setiap kelompok perlu menghormati kepercayaan, adat resam dan sensitiviti pihak lain.

Kedua, ia menekankan kepentingan kompromi sosial apabila perbezaan pandangan perlu diselesaikan melalui dialog, bukannya konfrontasi.

Ketiga, akomodasi menggalakkan kerjasama antara kaum dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuk politik, ekonomi dan pendidikan.

Namun, kenyataan rasis dalam kempen politik boleh menyebab prinsip-prinsip tersebut terhakis. Politik yang sepatutnya menjadi medan perbahasan idea dan dasar, bertukar menjadi ruang menyemai kebencian.

Lebih membimbangkan, kenyataan sedemikian boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat, khususnya golongan muda, yang sedang mencari arah dalam memahami realiti politik negara.

Naratif politik yang negatif boleh meyumbang kepada polarisasi kaum jika tidak ditangani dengan baik.

Dalam menghadapi situasi ini, semua pihak perlu memainkan peranan. Pemimpin politik harus menunjukkan teladan dengan mengamalkan politik beretika dan berintegriti.

Kempen pilihan raya seharusnya terfokus kepada dasar, rekod pencapaian dan perancangan masa depan, bukannya memainkan sentimen kaum atau agama.

Bijak urus kepelbagaian

Seruan agar semua parti berkempen secara matang dan menumpukan kepada isu dasar adalah sesuatu yang wajar diperkasakan dalam konteks semasa.

Selain itu, institusi masyarakat seperti media, NGO dan institusi pendidikan juga mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik rakyat tentang kepentingan perpaduan.

Media khususnya perlu berperanan sebagai agen pengimbang dengan menolak penyebaran ucapan kebencian serta mengangkat naratif yang memupuk keharmonian.

Dari perspektif yang lebih luas, memelihara keharmonian kaum dalam berpolitik juga berkait rapat dengan pembinaan negara bangsa.

Politik yang matang ialah politik yang mampu mengurus kepelbagaian dengan bijaksana. Ia tidak menafikan perbezaan, tetapi mengangkatnya sebagai asas untuk memperkukuh perpaduan.

Dalam hal ini, prinsip akomodasi budaya menjadi asas penting kerana ia mengiktiraf realiti kepelbagaian sambil menekankan keperluan untuk hidup bersama secara harmoni.

Pengalaman sejarah negara ini juga memberikan pengajaran berharga. Peristiwa-peristiwa lampau yang melibatkan ketegangan kaum menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian jika tidak dijaga dengan baik.

Oleh itu, setiap generasi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berulang.

Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, kempen pilihan raya seharusnya menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan, bukannya mencetuskan perpecahan.

Masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan rakyat dan pemimpinnya untuk menolak politik sempit dan mengangkat nilai-nilai kebersamaan. Keharmonian kaum bukan sekadar slogan, tetapi satu keperluan asas dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, hanya masyarakat yang bersatu dan saling menghormati mampu bertahan dan maju ke hadapan.

Justeru, marilah kita bersama-sama memelihara keharmonian kaum dalam berpolitik dengan menjadikan prinsip akomodasi sebagai panduan.

Politik yang matang bukanlah politik yang memecah-belahkan, tetapi politik yang membina jambatan antara perbezaan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.


PROF MADYA ABD HAKIM MOHAD ialah pensyarah Pusat Pengajian Teras di Universiti Sains Islam Malaysia, dan penyelidik tamu University of Bonn, Jerman.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS