Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan boleh menjadi detik penentu hidup mati buat Bersatu ketika parti itu bergelut untuk terus kekal relevan di tengah-tengah usaha PAS menyingkirkannya daripada PN.
Kemerosotan pengaruh Bersatu dapat dilihat apabila parti itu hilang wang deposit di 10 daripada 16 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya Johor dua minggu lalu.
Keadaan itu berlaku selepas pengundi PAS tidak memberikan sokongan kepada calon-calon Bersatu walaupun kedua-dua parti menggunakan logo PN.
Kini, pertaruhannya lebih besar apabila Bersatu bertanding menggunakan logonya sendiri.
Jangkaan Bersatu untuk memenangi sebarang kerusi adalah rendah. Peluang terbaik parti itu ialah di Labu, yang dimenanginya pada 2023 hasil undi protes daripada penyokong BN. Namun peluang itu kini juga dianggap tipis.
Bagaimanapun, Bersatu tidak semestinya perlu memenangi sebarang kerusi untuk membuktikan bahawa parti itu masih relevan.
Apa yang lebih penting ialah sama ada Bersatu mampu menarik sokongan pengundi Melayu secukupnya bagi menghalang pakatan BN-PN daripada memenangi beberapa kerusi.

Menurut penganalisis politik dari Sunway University, Wong Chin Huat, tindakan sekadar menjadi "pengacau" atau spoiler sudah memadai untuk membuktikan bahawa Bersatu masih merupakan satu kuasa politik yang perlu diberi perhatian.
Namun, ahli sains politik dari International Islamic University Malaysia, Syaza Shukri, berpendapat perkara itu sahaja tidak mencukupi.
Lebih daripada sekadar menjadi 'spoiler'
"Saya fikir sekadar menjadi spoiler tidak memadai. Pertama sekali, dengan berbuat demikian dan secara tidak langsung menguntungkan Pakatan Harapan, saya tidak pasti apakah mesej yang ingin disampaikan oleh mereka (Bersatu).
"Kita tahu bahawa bagi mereka, mungkin lebih penting untuk membuktikan kerelevanan mereka berbanding parti-parti Melayu lain. Namun dalam gambaran yang lebih besar, saya tidak pasti bagaimana perkara itu memberi manfaat kepada Bersatu.
"Bagi saya, bukan sekadar menjadi spoiler, tetapi mereka perlu membuktikan bahawa mereka masih mampu menarik undi atau memenangi kerusi. Hanya dengan itu mereka benar-benar boleh memperoleh kuasa tawar-menawar pada masa hadapan," katanya kepada Malaysiakini.

Syaza berkata, parti itu sekurang-kurangnya perlu memperoleh 20 peratus undi di kerusi yang ditandinginya, iaitu melebihi ambang 12.5 peratus yang diperlukan untuk mengelakkan kehilangan wang deposit.
Bersatu bertanding di 24 kerusi di Negeri Sembilan, dengan berdepan PN di lapan kerusi dan BN di baki 16 kerusi.
Jika Bersatu berjaya memecahkan undi Melayu sehingga menyebabkan BN atau PN kehilangan beberapa kerusi, ia berpotensi memberikan talian hayat kepada PH untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.
Namun, jika parti itu mengalami kekalahan besar dengan kehilangan wang deposit serta gagal menjejaskan laluan kemenangan BN-PN, ia akan menjadi satu lagi tamparan hebat kepada Bersatu dan mempercepatkan lagi kemerosotan pengaruhnya.
