Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tutup pejabat UNHCR di negara ini jika tiada kerjasama urusan pelarian'
Diterbitkan:  Jul 28, 2026 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Malaysia wajar mempertimbangkan semula keberadaan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, sekiranya badan antarabangsa itu enggan bekerjasama dalam melaksanakan proses saringan ketat terhadap pemohon kad pelarian.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kewujudan pejabat UNHCR ketika ini dilihat seolah-olah menjadi “magnet”, yang menarik kemasukan lebih ramai pelarian, khususnya etnik Rohingya ke Malaysia.

Mohamad Hasan

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengusahakan mekanisme bagi memastikan proses saringan dilakukan secara bersama-sama oleh UNHCR dan pihak berkuasa tempatan, sebelum sebarang kad pelarian dikeluarkan kepada mana-mana individu.

Mohamad berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dengan beliau meminta supaya Perjanjian Negara Tuan Rumah disegerakan, bagi menetapkan garis panduan serta kawalan yang lebih ketat terhadap pengeluaran kad UNHCR.

“Kita mahu supaya ada kerjasama dan tapisan ketat dilakukan. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada saya, sudah sampai masanya untuk kita menimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara supaya kita tidak terus terbeban,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, di Seremban hari ini.

Semalam, media melaporkan ratusan etnik Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling di Kuala Lumpur, sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.

Mohamad berkata antara isu yang perlu ditangani ialah proses permohonan kad pelarian yang didakwanya terlalu mudah, sehingga membolehkan individu membuat permohonan secara dalam talian dari negara asal sebelum memperoleh kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia.

“Sekarang ini tak ada SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bagi lepas buat dalam talian...dia di Myanmar, dia dah buat dalam talian, datang sini ambil kad terus. Jadi saringan kita tak ada, ini yang kita perlu uruskan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS