mk-logo
Berita
Polis sahkan 110 Rohingya berkhemah di KL miliki dokumen UNHCR
Diterbitkan:  Jul 28, 2026 3:09 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Polis mengesahkan semua etnik Rohingya dalam kumpulan yang berkhemah di luar pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur memiliki dokumen UNHCR yang sah, ketika pelbagai pertubuhan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mengenai nasib mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus pada kenyataan hari ini berkata etnik Rohingya yang diusir secara paksa dari negeri asal mereka di Rakhine, Myanmar, ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sementara UNHCR mengusahakan tindakan lanjut.

Selain 110 pelarian Rohingya yang terdiri daripada 57 orang dewasa dan 53 kanak-kanak, polis turut memindahkan seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia dalam operasi yang berlangsung kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Walaupun Fadil tidak menyatakan sama ada tiga individu bukan Rohingya itu memiliki dokumen UNHCR yang sah, dia berkata wakil pejabat UNHCR berada di lokasi bersama pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur turut terbabit dalam operasi itu.

Malam tadi, Bernama melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka terbabit dalam menyelaraskan kes berkenaan manakala individu yang tidak memiliki kad UNHCR akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Mereka kemudian dijangka dihantar ke depot tahanan sebelum menjalani proses penghantaran pulang ke negara asal.

Terdahulu dilaporkan kumpulan itu berkhemah di hadapan pejabat agensi pelarian PBB semalam selepas mereka didakwa diusir penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.

Menurut Harian Metro, kumpulan itu menyewa tiga bas menuju ke Kuala Lumpur kerana bimbang keselamatan diri susulan ancaman yang didakwa dibuat penduduk.

Semalam, Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abdul Rahman semalam berkata pemindahan 121 pelarian dari bekas tapak tsunami Penaga di Kuala Muda, Kepala Batas, dilakukan secara sukarela dan diselaraskan pelbagai agensi kerajaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan setiap individu di Malaysia mesti mematuhi undang-undang sedia ada kerana negara ini berdaulat, ketika mengarahkan pihak berkuasa mengambil “tindakan tegas” terhadap kumpulan itu.

“Dia (pelarian) berpangkalan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian, ganggu lalu lintas. Kita kena tegas. Negara ini ada peraturan, ada hukum. Dia tak boleh, umpamanya memilih untuk mengambil mana-mana kawasan bandar.

“Sebab itu saya diarahkan (Jabatan) Imigresen, polis, pihak bandar raya ambil tindakan tegas.

“Yang tidak ada permit, harus diheret ke (Jabatan) Imigresen, manakala yang mempunyai dokumen kita kena beri amaran, kalau tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Sebagai maklum balas terhadap kenyataan perdana menteri itu, Amnesty International Malaysia berkata pendirian Anwar yang “amat membimbangkan” telah mengubah situasi yang pada asasnya bersifat kemanusiaan menjadi isu penguatkuasaan.

“Mereka ini pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang dilaporkan pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan selepas kehilangan tempat tinggal.

Gambar fail, masjid dibakar dalam pengusiran etnik Rohingya di Myanmar.

“Namun, daripada memberikan perlindungan dan sokongan, respons perdana menteri mengakibatkan seluruh keluarga ditahan serta diancam dengan tindakan imigresen,” kata jurucakapnya, Divya Shesshsan Balakrishnan, dalam kenyataan hari ini.

Dia memberi amaran tindakan melihat perkara itu semata-mata melalui kaca mata penahanan, kesalahan imigresen dan penghantaran keluar berisiko mengaburkan hakikat individu terbabit memerlukan perlindungan manakala kenyataan kerajaan “menyumbang dengan ketara” kepada penyuburan stigma kebencian, diskriminasi dan permusuhan terhadap golongan yang mencari perlindungan.

“Jika Malaysia serius mahu memikul tanggungjawab lebih besar dalam pengurusan pelarian, negara ini tidak boleh menjadikan penahanan dan penghantaran pulang mereka yang memerlukan perlindungan sebagai asas pendekatannya.

Jangan hantar pulang ke Myanmar

“Pelarian dan pencari suaka perlu dilayan dengan bermaruah dan selaras dengan hak asasi manusia mereka sebagai golongan yang memerlukan perlindungan, sama ada Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau tidak,” tambahnya.

Menggesa Putrajaya segera menghentikan sebarang rancangan untuk menghantar pulang atau memaksa etnik Rohingya dan warga Myanmar lain kembali ke negara asal, Divya menegaskan prinsip antarabangsa non-refoulement melarang seseorang dihantar kembali ke tempat yang mendedahkannya kepada risiko sebenar penganiayaan, penyeksaan atau pencabulan serius hak asasi manusia.

Menyuarakan pandangan serupa, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) berkata satu-satunya “penyelesaian berkekalan” bagi mangsa terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai Rohingya ialah penempatan semula, memandangkan mereka tidak boleh dihantar pulang kerana tidak bernegara.

Sambil meminta kerajaan Malaysia dan UNHCR mengadakan perbincangan dengan negara penempatan semula bagi meningkatkan kuota untuk pelarian Rohingya, presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani, merayu pemimpin serantau dan dunia memastikan keadilan bagi komuniti yang ditindas itu.

“Satu-satunya harapan kami ialah keselamatan dan maruah. Menjadi pelarian tidak bermakna kami kurang manusia berbanding anda.

“Kami tidak memilih untuk menjadi pelarian dan pencari suaka.

“Kami tidak memilih untuk meninggalkan keluarga dan negara kami.

“Kami terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa,” tambahnya pada kenyataan.

Bulan lalu, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) menggesa UNHCR mempercepat proses penempatan semula pelarian Rohingya di Malaysia, sambil menegaskan negara ini sekadar negara transit dan bukan destinasi penempatan semula kekal.

Himpunan Solidariti Rohingya pada 2016.

Gesaan berkenaan dibuat ketika kempen kebencian terhadap komuniti yang ditindas itu semakin meningkat di Malaysia.

Malaysia sebelum ini lantang bersolidariti dengan Rohingya, termasuk melalui perhimpunan lebih 10,000 orang yang disertai perdana menteri ketika itu Najib Razak bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2016 (gambar atas), namun sikap terhadap komuniti tersebut semakin keras sejak kebelakangan ini.


BACA BERKAITAN:

ICJ perintah Myanmar lindungi etnik Rohingya, henti genosid

'Mereka berkuasa perlu hentikan genosid ke atas etnik Rohingya'

Dr M: Halau pelarian tetap tidak manusiawi


Etnik Rohingya telah diusir secara paksa dari negeri asal mereka di Rakhine, Myanmar, manakala sesetengah komen dalam talian menuntut supaya mereka kini “diusir” dari Malaysia.

Lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera pada tahun 2017, memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh dan ke Malaysia.

Penyiasat PBB menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari 2020 mengarahkan Myanmar yang diperintah junta tentera mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam - keputusan yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh sebuah negara kecil Afrika yang membawa kes itu ke ICJ.

Gambia memfailkan tindakan undang-undang pada November 2019 kepada badan tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memulakan perbicaraan penuh merit kes genosid terhadap etnik Rohingya yang difailkan oleh Gambia bermula 12 Januari 2026 di The Hague, Belanda.

[ Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS