Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan beli undi: PKR tak ada wang, kata Yew

PRN N SEMBILAN | Calon PH yang mempertahankan kerusi DUN Chuah, Yew Boon Lye, menafikan dakwaan bahawa PKR mengagihkan wang kepada pengundi di kawasan tersebut.

Ia susulan penularan video dan gambar di media sosial yang didakwa memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Bukit Pelanduk untuk menerima wang.

Platform media rasmi MCA berkongsi rakaman dan gambar itu di Facebook dengan kapsyen mendakwa ada sebuah parti politik terbabit dalam kegiatan membeli undi.

Walaupun hantaran itu tidak menamakan mana-mana parti, ia dilihat merujuk kepada PKR kerana dalam persaingan kali ini hanya ada dua parti yang bersaing di situ – MCA dan PKR.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Yew berkata dia masih belum sempat menonton video berkenaan kerana sibuk berkempen.

Namun, dia menegaskan pasukannya tidak terbabit dalam kegiatan seperti yang didakwa.

Yew Boon Lye (tengah)

"Tak ada, mana PKR ada wang. Saya pun pening memikirkan kempen saya sendiri.

"Saya tak tahu siapa yang buat macam ini. Kami pun tak ada maklumat. Saya harap perkara macam ini tak berlaku lagi," katanya.

Yew turut mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa.

“Saya tak ada kuasa untuk menyiasat. Saya memang alu-alukan siasatan daripada pihak berkuasa," katanya lagi.

Dalam satu daripada video yang tular, orang ramai dilihat mengerumuni beberapa individu yang duduk di meja sebuah restoran.

Akan lapor ke polis

Seorang daripada mereka dilihat mengambil gambar MyKad menggunakan telefon pintar, manakala sekeping gambar lain memaparkan sekurang-kurangnya tiga keping wang RM100 dimasukkan ke sampul.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azmi Sharom, menggesa mana-mana individu yang menyaksikan perbuatan rasuah supaya membuat laporan kepada pihak yang berkenaan.

"Jika ada orang yang menyaksikan perbuatan rasuah, mereka harus membuat laporan kepada SPRM," katanya.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, pula berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pertandingan bagi kerusi DUN Chuah menyaksikan Yew mempertahankan kerusi itu berdepan calon MCA, Pau Jeou Ching.

Dalam PRN 2023, Yew mempertahankan kerusi itu bagi pihak PH dengan mengumpul 8,172 undi berbanding pencabarnya, Tang Jay Son (PN-Gerakan) yang hanya memperoleh 1,874 undi.

Yew memenangi kerusi DUN Chuah dengan majorti 6,298 undi. Kadar yang keluar mengundi pula ialah 67.3 peratus.

Bagaimanapun untuk rekod dalam PRN lalu PH menyertainya dengan kerjasama BN.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS