Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina - Shafie Apdal dihukum penjara 5 minggu
Diterbitkan:  Jul 29, 2026 12:14 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima minggu ke atas Shafie Apdal selepas mendapati bekas ketua menteri Sabah itu menghina mahkamah berhubung kenyataan yang berkaitan dengan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu, Amir Shah Amir Hassan, bagaimanapun, membenarkan permohonan presiden parti Warisan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Amir Shah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap ahli Parlimen Semporna itu melampaui keraguan munasabah, sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pemohon berjaya membuktikan Notis Permohonan dalam Lampiran 1 (menghina mahkamah) melampaui keraguan munasabah terhadap responden.

“Oleh itu, mahkamah mendapati responden bersalah menghina mahkamah dan beliau disabitkan atas kesalahan tersebut,” kata Amir Shah dalam penghakimannya.

Peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.

Pada September tahun lalu, Shafie ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan dilaporkan menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai ‘pembunuhan’ dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes itu.

Kenyataan itu dibuat ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir.

Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam negara mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Shafie,

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Inkues bagi menyiasat punca kematiannya sedang berlangsung. Ia bermula 3 September tahun lalu dan dijadualkan bersambung pada 24 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS