PRN Negeri Sembilan | Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi merayu sokongan pengundi India di Negeri Sembilan dengan meminta masyarakat itu memaafkan kesilapannya menggunakan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada satu program di Seremban, pengerusi PH itu mengakui penggunaan istilah berkenaan adalah satu kesilapan.
"Since i have been PM, satu kuil lama pun tak pernah saya robohkan. Tak ada.
"Peraturan memang ada.. jadi kalau saya tahu..Anwar salah cakap ni kuil haram, ok, saya dah minta maaf.
"I said no, that was technical, i have said a mistake. PM is not perfect, PM is also a human being. Sometimes he doesn't mean it when he uses the wrong term," katanya ketika sesi ramah mesra bersama masyarakat India.
Tahun lalu, ketika kontroversi membabitkan kuil Hindu di atas tanah yang dipertikaikan, Anwar menerima kritikan selepas dilaporkan merujuk rumah ibadat berkenaan sebagai "kuil haram".
Dia turut dikecam susulan kenyataannya ketika majlis pecah tanah sebuah masjid di lokasi yang turut dipertikaikan, apabila menyifatkan projek itu sebagai satu "kemenangan".
Ambil alih hal ehwal masyarakat India
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan bahawa dia sendiri akan menyelia hal ehwal masyarakat India di negara ini.
Menurutnya, walaupun Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, akan terus membantu melaksanakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat India, dia kini akan mengambil alih tanggungjawab tersebut.
"Di malam ni saya nak sebut..to show that I'm serious about India issues, i've assigned Ramadhan to help, but from now, not only Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) but Indian issues, I take charge. Saya akan ambil alih," katanya.
Anwar berkata, antara perkara yang akan dipantau termasuk bantuan di bawah agensi kerajaan seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia, selain urusan permohonan kewarganegaraan.
Dalam ucapannya, presiden PKR itu turut menggesa pengundi supaya menolak naratif perkauman yang dibawa pihak lawan sepanjang tempoh kempen.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos ini.
