Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI Tabung Haji: Apa orang Melayu nak kata, ujar pemimpin PH

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji yang didedahkan semalam menjadi tumpuan utama ceramah kempen PH malam tadi apabila pemimpin gabungan itu menggunakan dapatan laporan berkenaan untuk menangkis naratif perpaduan Melayu yang dibawa BN dan PN.

Antara yang membangkitkan perkara itu ialah pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang menggunakan laporan tersebut untuk menggesa pengundi, khususnya orang Melayu, menolak naratif berunsur perkauman yang dibawa lawan politik mereka.

Walaupun tidak menamakan BN secara langsung, mereka dipercayai merujuk kepada gabungan diterajui Umno yang memimpin Tabung Haji ketika dana itu didakwa mengalami kerugian berbilion ringgit.

Berucap kepada hadirin di Desa Cempaka, Nilai, Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata laporan itu menunjukkan menteri Melayu dan Cina dalam kerajaan PH telah membantu menyelamatkan Tabung Haji selepas gabungan itu mengambil alih kerajaan pada 2018.

"Antaranya terdedah dalam laporan itu, antara yang selamatkan TH itu ialah (bekas) menteri agama kita, Mujahid (Yusuf) Rawa dan menteri kewangan yang menyelamatkan TH itu ialah Lim Guan Eng!

"Apa orang Melayu nak kata sekarang? Hei semua kena baca.

"Ini (kata) Cina DAP jahat, Cina Cina. Apa ni? Kita tau mana-mana kaum lakukan kejahatan, kita tak sokong. Mana-mana kaum lakukan kebaikan kita sokong," katanya.

Pada ceramah penutup kempen PH di Seremban, Anwar menggesa pengundi menggunakan undi mereka untuk menghukum BN susulan isu Tabung Haji.

Perdana menteri itu berkata Tabung Haji akan menjadi muflis sekiranya kerajaan PH tidak campur tangan untuk menyelamatkannya.

"Jadi pada pilihan raya ni bagi mesej la.. enough. Cukuplah, jagalah negeri ini.

"Apa pun kelemahan, jangan izinkan harta rakyat itu diambil dan kita padamkan," katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyindir Umno yang sering menggambarkan parti itu sebagai pelindung orang Melayu.

Dia mendakwa ada sebuah parti yang menjelajah kampung-kampung Melayu di Negeri Sembilan sambil melaungkan slogan "Hidup Melayu", tetapi pada masa sama membiarkan Tabung Haji mengalami kerugian besar.

"Ha ini bukan masalah Cina. oo negeri ni rosak kerana Cina. Cina pula Cina DAP la. Aiyooo tara baik.

"Ini TH ni, Melayu tau. Ni Melayu punya masalah. Tak ada kena mengena Cina. Ini masalah Melayu, cara Melayu urus," katanya.

Pada ceramah yang sama, Mujahid turut menyuarakan pandangan serupa dengan mengkritik BN kerana didakwa memainkan naratif berbaur perkauman.

Dia berkata tiada siapa boleh mendakwa memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu sedangkan tindakan mereka menunjukkan sebaliknya.

"Kamu cakap kamu berjuang untuk Melayu, kamu berjuang untuk Islam. Melayu apa ini? Islam apa ini?

"Melayu yang korup! Islam apa? Islam yang sakau. Tanya pada kami, kami tak kenal Islam yang itu,"katanya.

Semalam, kerajaan mendedahkan laporan penuh RCI kepada umum, yang mengenal pasti kegagalan tadbir urus, campur tangan politik dan amalan perakaunan kreatif sebagai antara punca masalah kewangan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS