Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jadi siapa ahli politik Umno terlibat 'sakau' Tabung Haji, soal Akmal
Diterbitkan:  Jul 30, 2026 3:47 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji tidak menyatakan sebarang kes penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno.

"Alhamdulilah laporan RCI dah dikeluarkan

"Jadi siapa orang politik Umno yang terlibat dan dikatakan sakau?" tulisnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sebaliknya Akmal berkata laporan RCI berkenaan berkisar kepada kelemahan tadbir urus Tabung Haji.

"Jadi persoalan yang timbul hari ini, adakah kerugian ini akibat rasuah atau kegagalan tadbir urus oleh pegawai yang mentadbir?

"Adakah pemberian dividen yang tinggi kepada penyimpan dan subsidi yang tinggi kepada jemaah haji dianggap sakau?" katanya.

Akmal juga dilihat meneruskan cabarannya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, supaya membuktikan dakwaan bahawa berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji.

Pada masa sama, dia turut menjawab pihak yang mendakwa laporan RCI akan memberi kesan buruk kepada Umno.

Tindakan tatatertib terhadap lima pegawai

Laporan RCI yang dikeluarkan semalam tidak mendakwa mana-mana ahli politik daripada Umno melakukan penyelewengan, rasuah atau kecurian.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan lima pegawai Tabung Haji dikenakan tindakan tatatertib atas beberapa kesalahan iaitu bekas etua Pegawai Kewangan Kumpulan, Rozaida Omar; Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani; Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff; Ketua Pegawai Sumber Manusia, Mohd Hisham Harun serta Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid.

Tindakan tatatertib itu membabitkan empat kluster kes iaitu penjualan saham dalam PT TH Indo Plantations, pelanggaran peruntukan Akta Syarikat 1965 berkaitan sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan awal menteri, isu pengisytiharan hibah bagi tahun kewangan berakhir 2017 serta pengemukaan tuntutan yang mengandungi butiran palsu

Kelima-lima pegawai itu pada mulanya dikenakan tindakan buang kerja, namun selepas rayuan hukuman mereka diringankan kepada penurunan pangkat.

Sehingga siasatan RCI selesai pada Jun 2022, kesemua mereka masih berkhidmat di Tabung Haji.

Isu pengisytiharan hibah pula merujuk kepada amalan "perakaunan kreatif" oleh pengurusan Tabung Haji apabila mereka menggunakan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berdasarkan anggaran sendiri, bukannya angka yang telah diaudit, sekali gus menjadikan kedudukan kewangan Tabung Haji kelihatan lebih kukuh daripada keadaan sebenar.

Kaedah itu kemudian digunakan bagi membolehkan pembayaran hibah yang tinggi kepada pendeposit serta bonus yang berlebihan kepada kakitangan, walaupun kemampuan kewangan sebenar Tabung Haji tidak mengizinkannya.

RCI turut menyatakan bahawa keputusan menggunakan kaedah perakaunan kreatif itu diluluskan oleh Lembaga Pengarah Tabung Haji yang ketika itu dipengerusikan veteran Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selain itu, RCI menyatakan keputusan untuk memberikan hibah dan subsidi yang tinggi mempunyai unsur pertimbangan politik, khususnya hibah 2017 yang diumumkan hanya tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada masa sama, terdapat beberapa laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menurut RCI masih belum diselesaikan ketika siasatan dijalankan.

Walaupun tidak dihuraikan secara terperinci dalam laporan RCI, salah satu laporan polis dibuat terhadap Azeez dan beberapa individu lain berhubung dakwaan penyalahgunaan RM22 juta yang diperuntukkan kepada Yayasan Tabung Haji bagi tujuan aktiviti politik.

Selain itu, RCI turut menyebut secara ringkas dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan penyewaan Restoran Opah di KL Sentral dan Restoran Nasi Dalca di ibu pejabat Tabung Haji.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan siapa yang terlibat atau bila kejadian tersebut berlaku.

Ditemui wartawan ketika berkempen di Negeri Sembilan hari ini, Azeez berkata dia bersedia disiasat sekali lagi.

Namun, Azeez menegaskan dia tidak melakukan kesalahan dan mendakwa pihak berkuasa sebelum ini tidak menemui sebarang salah laku.

"Saya sudah dibersihkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu (Azam Baki) pada 2021.

"Kalau pihak media mahu melihat buktinya, saya boleh tunjukkan surat rasmi yang diberikan kepada saya," katanya seperti dipetik The Star.

Azeez turut berkata polis memaklumkan kepadanya dua minggu lalu bahawa mereka sedang menunggu arahan 'tiada tindakan lanjut' (NFA) bagi kes-kes yang membabitkannya.

Menurut Azeez, jika benar dia melakukan kesalahan, dia sudah lama didakwa ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari 2018 hingga 2020.

Azeez pernah didakwa dalam tempoh tersebut, namun ia berkaitan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek lebuh raya di Perak dan Kedah.

Dia diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) pada September 2022 atas permohonan pihak pendakwaan selepas muncul "bukti baru", sebelum dibebaskan sepenuhnya pada Disember tahun yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS