Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hyundai Cup ‘suram’ tanpa siaran langsung, persiapan Harimau Malaya

Kejohanan Asean Hyundai Cup 2026 dan Sukan Komanwel Glasgow 2026 dilihat kurang mendapat sambutan rakyat Malaysia ketika atlet negara sedang bertungkus-lumus mengharumkan nama negara.

Penganalisis sukan Pekan Ramli berkata beberapa faktor menyebabkan kedua-dua acara itu “tenggelam” selepas perhatian peminat sukan tertumpu kepada Piala Dunia 2026 yang baru berakhir.

Menurutnya, ketiadaan siaran langsung oleh penyiar tempatan bagi memaparkan aksi Asean Hyundai Cup 2026 menjadi antara punca kejohanan itu kurang mendapat perhatian.

Keadaan itu, katanya, mungkin turut berkaitan dengan isu hak penyiaran dan minat stesen televisyen yang belum kembali pulih selepas berakhirnya Piala Dunia.

"Saya rasa ini ada kaitan dengan hak (penyiaran) juga. Dia punya tumpuan ataupun fokus stesen televisyen tidak begitu teruja selepas Piala Dunia. Orang kata macam dalam fasa berehat.

"Tambahan pula, kita ini banyak sangat krisis bola sepak. Jadi mereka tidaklah terlalu teruja dengan apa persiapan pasukan bola sepak kebangsaan kita untuk Hyundai Cup ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai sambutan hambar terhadap kejohanan bola sepak itu serta penyertaan Malaysia dalam Sukan Komanwel 2026 yang sedang berlangsung.

Semakan Malaysiakini mendapati penganjur Asean Hyundai Cup 2026 menyenaraikan rangkaian televisyen atau platform digital bagi negara Asean lain, tetapi tidak menyenaraikan penyiar untuk pasaran Malaysia.

Kejohanan yang melibatkan 28 perlawanan itu berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos 2026.

Mengulas lanjut, Pekan berkata kelemahan itu bagaimanapun tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada penyiar kerana Malaysia sendiri sebelum ini didakwa kurang menunjukkan kesungguhan terhadap kejohanan bola sepak utama Asia Tenggara berkenaan.

Jelasnya, ketiadaan beberapa pemain utama, tempoh persiapan yang singkat serta isu pelepasan pemain boleh menjejaskan tarikan kejohanan dan keyakinan peminat terhadap peluang Harimau Malaya.

“Kita sendiri tidak menunjukkan yang kita sangat serius dalam kejohanan ini. Kita tidak menurunkan pasukan terbaik dan ada pemain utama yang tidak dilepaskan kerana kejohanan ini di luar kalendar Fifa.

“Kita sendiri sebenarnya yang merendahkan perjuangan ini. Jadi orang lain pun mula tidak memandang serius kejohanan ini,” katanya.

Dia mengulas situasi skuad Malaysia kali ini yang dibentuk daripada gabungan pemain berpengalaman, pemain muda serta sembilan pemain yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa.

Tiada ‘build-up’ menuju Sukan Komanwel

Mengenai Sukan Komanwel Glasgow 2026 pula, Pekan berkata perhatian media dan peminat sepanjang tempoh persiapan kontinjen negara banyak tertumpu kepada Piala Dunia FIFA 2026 yang berakhir hanya beberapa hari sebelum temasya di Glasgow bermula.

“Sepatutnya tempoh sebulan itu digunakan untuk membina momentum bagi atlet-atlet kita yang akan menyertai Sukan Komanwel.

“Tetapi ketika itu kebetulan berlangsung Piala Dunia. Perhatian media semuanya tertumpu kepada Piala Dunia. Itulah antara sebab ‘build-up’ untuk Sukan Komanwel kali ini agak sedikit,” kata pemerhati sukan itu.

Piala Dunia berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 manakala Sukan Komanwel membuka tirai di Glasgow hanya empat hari kemudian, pada 23 Julai.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia menerusi beberapa saluran televisyen dan platform RTMKlik sebelum beralih kepada liputan temasya di Glasgow.

Majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari pula diadakan pada 16 Julai, seminggu sebelum temasya bermula.

RTM kemudian mengumumkan peranannya sebagai penyiar rasmi pada lewat malam 22 Julai, sehari sebelum temasya membuka tirai.

Menurut Pekan, pertindihan itu mengehadkan ruang media untuk memperkenalkan atlet negara, membina keterujaan dan meningkatkan kesedaran mengenai penyertaan Malaysia di Glasgow.

“Mereka kena berbelanja dari segi promosi dan publisiti. Kalau mahu mengharapkan publisiti percuma, memang tak adalah,” katanya lagi.

Temasya berskala lebih kecil

Menyentuh sambutan terhadap Sukan Komanwel Glasgow 2026, Pekan berkata temasya kali ini turut kelihatan “malap” kerana dianjurkan pada skala lebih kecil selepas Australia menarik diri sebagai tuan rumah atas faktor kewangan.

"Apabila Glasgow mengambil-alih (penganjuran) ia dibuat dengan skala kecil-kecilan, syarat ini ibarat orang kata Sukan Komanwel janji ada. Sebab itu cuma 10 acara sukan saja dan kita ambil bahagian dalam lapan acara saja.

"Dan kita tengok dari segi liputan pun tak ada sangat. Liputan pun yang buat (hanya) RTM saja, jadi kita tak nampak (meriah). Dari segi liputan pun kita tak nampak begitu besar.

"Jadi nak buat macam mana, Sukan Komanwel itu sendiri pun dah malap sebenarnya," tambahnya lagi.

Malaysia menghantar 59 atlet, termasuk 22 atlet para, untuk menyertai 55 acara dalam lapan jenis sukan dengan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Pekan berkata semua pihak berkaitan perlu berkongsi tanggungjawab untuk mengangkat pencapaian atlet negara, khususnya ketika imej dan tarikan Sukan Komanwel sendiri dilihat semakin menurun.

“Memang kena sama-sama. Kalau kita tidak memperbesar kejayaan itu dan tidak mengangkat atlet-atlet kita, lama-lama peminat sukan tidak akan memberikan perhatian.

“Atlet yang menyertai Sukan Komanwel pun akhirnya orang tidak ambil kisah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS