Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersih syor jawatankuasa pilihan parlimen semak imbang Tabung Haji
Diterbitkan:  Jul 31, 2026 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan agar sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi menjalankan fungsi semak imbang terhadap institusi Islam diwujudkan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).

Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz pihaknya juga menyambut baik hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya dapatan RCI itu dibahaskan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos nanti.

“Perbahasan di parlimen penting kerana parlimen adalah institusi rakyat yang mempunyai mandat bagi membahas perkara besar seperti RCI TH. Ia adalah satu gambaran kepada ketelusan yang amat penting untuk rakyat.

“Melihat ke hadapan, timbul persoalan akan keperluan untuk institusi Islam seperti TH ini disemak imbang oleh Parlimen bagi memastikan skandal lama tidak berulang kembali.

“Justeru, kita mencadangkan untuk parlimen mewujudkan satu jawatankuasa khas di bawah Perkara 82 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang keahliannya terdiri daripada ahli parlimen muslim pelbagai parti untuk melaksanakan semak imbang kepada institusi Islam seperti TH,” katanya, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas pendedahan RCI oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dokumen itu dimuat naik di laman web Jakim malam tadi dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.

Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pendedahan dapatan RCI berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata cadangan tersebut akan membolehkan jawatankuasa pilihan memainkan peranan memanggil pihak berkepentingan, termasuk pakar dalam bidang korporat, kewangan dan pelaburan, bagi mendapatkan pandangan serta buah fikiran berhubung sesuatu isu.

“Mekanisme semak dan imbang penting memandangkan institusi Islam seperti TH adalah penting kerana ia melibatkan kepentingan besar umat Islam di negara ini.

“Kita juga menyambut baik syor suruhanjaya supaya diadakan badan bebas untuk menasihati dan membantu perdana menteri khususnya dalam hal ehwal pemilihan pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan lembaga pengarah TH,” katanya dalam kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS