PRN SEMBILAN | Keputusan pilihan raya Negeri Sembilan menjadi petunjuk kukuh pengundi Melayu yang memilih BN atau PN sejak lima tahun lalu kekal dengan pilihan mereka.
Dengan menyatukan undi Melayu, BN dan PN berjaya meraih 25 kerusi sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan manakala PH tersisih dengan hanya 11 kerusi tanpa seorang pun Adun Melayu di pihaknya.
Bercakap secara ringkas kepada Malaysiakini selepas pilihan raya, ahli sains politik Universiti Sunway Wong Chin Huat berkata keputusan itu menunjukkan BN dan PN yang berkempen atas agenda perpaduan Melayu saling memberikan undi antara satu sama lain.
Ahli sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Syaza Shukri pula berkata keputusan pengundian menunjukkan pengundi Melayu yang menyokong BN dan PN mempunyai dorongan tinggi untuk keluar mengundi kali ini.

“Kita selalu fikir apabila peratusan keluar mengundi tinggi, ia disebabkan keghairahan pihak pembangkang untuk melakukan perubahan.
“Dan situasi hari ini, PH dilihat sebagai penyandang (di peringkat negeri dan persekutuan), maka naratif perubahan menentang PH berjaya membawa keluar pengundi Melayu yang mahu mengalahkan PH, khususnya DAP dan menjadi pihak yang mengembalikan ‘kepimpinan Melayu’,” kata Syaza.
Bagi analisis peratusan undi, Malaysiakini akan membuat perbandingan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kali terakhir ketiga-tiga gabungan utama bertanding sesama sendiri di semua kawasan di Negeri Sembilan.
Ini berbeza dengan pilihan raya negeri lalu apabila PH dan BN menjadi rakan kerjasama serta berkongsi undi.

Berdasarkan perbandingan itu, peratusan undi PH di Negeri Sembilan merosot daripada 44.9 peratus pada PRU15 kepada 40.2 peratus dalam pilihan raya 1 Ogos.
Sementara itu, jumlah gabungan undi BN dan PN meningkat daripada 54.2 peratus pada PRU15 kepada 56 peratus. Bersatu yang bertanding menentang PN pula meraih 2.6 peratus undi.
Keseluruhan kadar keluar mengundi bagi PRN Negeri Sembilan pula mencecah 72.6 peratus — 4.3 mata peratusan lebih tinggi daripada PRN 2023 dan 5.9 mata peratusan lebih rendah berbanding PRU15.
Kerusi bertukar tangan
Kekalnya sokongan pengundi BN dan PN dapat dilihat dengan lebih jelas menerusi keputusan di lima kerusi DUN yang diramalkan Malaysiakini akan dirampas daripada PH.
Kerusi berkenaan, termasuk Chennah yang disandang Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencatatkan jumlah peratusan undi BN dan PN melebihi 50 peratus ketika PRU15 — angka yang berjaya dikekalkan pada pilihan raya 1 Ogos.
Malah, peratusan undi dalam pengundian semalam hanya berbeza beberapa mata peratusan berbanding corak pengundian penduduk kawasan terbabit di peringkat parlimen pada PRU15.

Di Chennah, kadar keluar mengundi mencecah 74.6 peratus, sembilan mata peratusan lebih tinggi daripada PRN 2023, sekali gus menunjukkan pengundi Cina keluar beramai-ramai bagi mempertahankan Loke.
Bagaimanapun, keputusan itu dilihat akhirnya ditentukan faktor demografi. Pertambahan pengundi Bumiputera di kawasan berkenaan membolehkan MCA — dengan sokongan undi Melayu — mencatat kemenangan tipis menerusi majoriti 688 undi.
Selain itu, BN turut berjaya merampas Repah, kawasan yang menyaksikan PH memperoleh 58 peratus undi ketika PRU15.
PRU mengejut?
Kemenangan di Repah dipercayai hasil gabungan kadar keluar mengundi lebih rendah dalam kalangan pengundi Cina yang menyokong PH, serta kemungkinan berlaku peralihan sebahagian undi masyarakat India kepada BN.
Ia juga memberi petunjuk, sekiranya kerjasama BN dan PN diteruskan, sebarang kemerosotan sokongan atau kadar keluar mengundi dalam kalangan bukan Melayu dan orang Melayu progresif yang sebelum ini memilih PH boleh memburukkan lagi kekalahan ditanggung gabungan itu.
Kelompok pengundi ini semakin kecewa terhadap PH dan tanggapan gabungan itu meninggalkan cita-cita reformasi, meskipun kebimbangan berasaskan kaum mungkin mendorong sebahagian mereka untuk terus mengundi gabungan berkenaan.
Dalam senario sedemikian, PH juga dijangka kehilangan banyak kerusi di peringkat parlimen serta di negeri seperti Melaka, Perak, Kedah, Pahang, malah Pulau Pinang.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi isyarat gabungan itu berhasrat meneruskan kerjasama dengan PN pada PRN Melaka akan datang.
Jangkaan turut meningkat bahawa kedua-dua gabungan itu mungkin memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengadakan pilihan raya umum mengejut.
Laporan oleh Zikri Kamarulzaman, Koh Jun Lin dan Zarrah Morden
