Empat individu termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Bentong Lama, dekat Bentong tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar, berkata mangsa yang maut itu ialah pemandu Ford Raptor terbabit yang berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.
Turut terkorban, katanya, seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di bahagian penumpang belakang.
Menurut Zaiham kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menghala ke Janda Baik.
"Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
"Semua mangsa yang maut pula dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.
Difahamkan kanak-kanak yang cedera itu merupakan pasangan kembar kepada seorang lagi mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit pada peringkat awal dilakukan anggota Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik sebelum pasukan operasi dari BBP Bentong tiba bagi memberikan bantuan," katanya.
Dia turut memaklumkan jarak dari BBP Bentong ke lokasi kemalangan ialah sejauh kira-kira 50 kilometer.
Mohd Salahuddin memberitahu, anggota yang tiba di lokasi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dihempap pokok dengan lima mangsa terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak terlibat.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan hantaran dibuat laman Facebook Friends of BN, pemandu pacuan empat roda terbabit dikenal pasti sebagai Ketua Pemuda Umno Maran, Mohd Radzi Rahimi.
"Innalillahi wainna ilaihi rojiun… Dimaklumkan Ketua Pemuda Umno Maran yang juga Bendahari Pemuda Umno Pahang telah meninggal dunia.
"Sama sama kita bacakan al-Fatihah buat rohnya dan tiga lagi yang turut terlibat dalam kemalangan ini," kata hantaran itu.
Setakat ini, pihak polis belum mendedahkan identiti semua mangsa yang terkorban dalam insiden itu.
Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Kamil Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan Mohd Radzi terbabit dalam kemalangan itu dan meninggal dunia.
