Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali dikecam kerana memuat naik video dengan kapsyen: “Tengah tahlil atas pemakaman Loke di (DUN) Chennah. Salam takziah.””
Video di Threads bagi mempersenda kekalahan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di DUN Chennah pada 1 Ogos itu memaparkan Wan Zuhir bersama sekumpulan lelaki membaca doa sambil duduk di atas lantai.
Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas hantaran “tidak bertanggungjawab” yang berisiko mencemarkan imej Islam sebagai agama yang menganjurkan rasa hormat dan menjaga maruah.
"Majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik.

"Mempermainkan simbol dan amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik adalah perbuatan yang keji, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
"Ia ibarat meletakkan kesucian Islam 'di bawah tapak kaki',” kata senator yang juga naib pengerusi DAP Johor itu.
Sheikh Umar menegaskan Malaysia memerlukan politik yang matang, beradab serta menghormati batas kemanusiaan dan kesucian agama.
Dia berkata perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama atau menyalahgunakan amalan suci.

Sehubungan itu, dia menggesa Wan Zuhir (gambar atas) segera memadam hantaran berkenaan, yang masih boleh diakses ketika laporan ini ditulis, serta memohon maaf secara terbuka.
Terdahulu hari ini, akaun X rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut memuat naik video itu. Hantaran berkenaan mengandungi kapsyen dalam video mengenai kecaman terhadap Wan Zuhir.
Bagaimanapun, hantaran di akaun X Presiden PKR itu kemudian dipadam.
Sebelum hantaran di akaun Anwar dipadam, jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut berkongsinya semula.

Loke gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah selepas persaingan sengit dengan pencabar tunggalnya daripada MCA, Siow Kong Choon, yang memperoleh hanya 688 undi lebih banyak berbanding Menteri Pengangkutan itu.
Ahli parlimen Seremban itu kemudian mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan.
Ketika berucap dalam sidang media pada 3 Ogos, dia turut mempertahankan keputusannya untuk bertanding di kerusi itu. Menurutnya, taktik pihak lawan perlu diambil kira ketika menilai prestasinya.

BACA BERKAITAN:
Loke akan letak jawatan pengerusi DAP N Sembilan
'Biar putih tulang' - Loke imbau pertarungan getir di Chennah
