Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA gesa k'jaan hidupkan semula pasukan khas polis dibubar PH
Diterbitkan:  Aug 5, 2026 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Naib Presiden MCA, Lawrence Low menggesa kerajaan persekutuan menghidupkan semula tiga pasukan khas polis yang dibubarkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Dia berkata pembubaran Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (Sting) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) meninggalkan kelompongan dalam keupayaan taktikal serta risikan polis.

"Kelompongan dalam penguatkuasaan khusus untuk menangani isu ini tidak boleh lagi dipandang remeh oleh pihak kerajaan.

"Ia perlu dikembalikan untuk menggempur akar umbi sindiket jenayah terancang dan kartel dadah antarabangsa yang menjadikan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah," katanya pada satu kenyataan media.

Gambar hiasan.

Mengulas lanjut, Low menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kes dadah terkini yang membabitkan rakyat Malaysia di luar negara.

Menurutnya, perkembangan itu mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa dan menunjukkan sindiket dadah semakin berani serta tidak gentar terhadap sistem penguatkuasaan sedia ada.

Dia merujuk penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia baru-baru ini selepas pihak berkuasa negara itu mendakwa menemukan lebih 70,000 pil ekstasi dan sejumlah metamfetamina dalam simpanannya.

Pihak berkuasa Indonesia turut melaporkan ujian air kencing juruterbang berkenaan positif metamfetamina, MDMA dan kokain.

Low turut merujuk kes seorang rakyat Malaysia berusia 22 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya kerana disyaki cuba menyeludup 990 gram metamfetamina dan 1,089 pil ekstasi.

Menurut laporan media, dadah berkenaan dilekatkan pada badan suspek di bawah korset yang dipakainya.

Sehubungan itu, Low menggesa kerajaan menilai semula keputusan terdahulu bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memperkukuh keselamatan sempadan negara.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan negara dan masa depan generasi kita.

"Sindiket dadah dan jenayah terancang perlukan tindakan luar biasa, dan tindakan luar biasa itu hanya boleh digerakkan menerusi pasukan khas yang berdedikasi seperti Stagg, Sting dan Stafoc," katanya.

Sting, dan Stafoc mula beroperasi pada awal 2014 manakala Stagg ditubuhkan pada penghujung tahun sama.

Ketiga-tiga pasukan itu dibubarkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula pasukan polis. Pegawai dan anggota yang terlibat kemudian ditempatkan semula ke jabatan serta unit lain dalam pasukan polis.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan pembubaran tersebut bertujuan mengelakkan pertindihan fungsi dengan jabatan dan bahagian sedia ada dalam pasukan polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS