Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lee soal adakah RM3 juta dana parlimen PJ ‘disakau’ jadi milik PKR
Diterbitkan:  Aug 6, 2026 12:39 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Anggota Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mempersoalkan status baki peruntukan parlimennya yang bernilai RM3 juta yang didakwanya kini disalurkan melalui pimpinan parti politik dan bukan lagi menerusi wakil rakyat yang dipilih.

Menyifatkan peruntukan Parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat, wakil rakyat PKR itu turut mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu satu bentuk “sakau” yang dihalalkan?

“Mengapakah tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat?

“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas sekatan ke atas aksesnya ke portal MyKhas sejak penghujung Mei lalu sebelum perdana menteri mengesahkan pada Julai bahawa baki peruntukan berkenaan tidak lagi disalurkan melalui anggota parlimen.

Langkah mendedahkan isu itu kepada umum dibuat selepas dia menerima tangkap layar mesej WhatsApp daripada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Hee Loy Sian yang memaklumkan permohonan kerja kecil dan sumbangan kewangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi kawasan berkenaan kini perlu merujuk kepadanya.

“Perdana Menteri (Anwar) sendiri sering menggunakan istilah sakau untuk mengkritik penyalahgunaan dana awam.

“Maka rakyat berhak bertanya sama ada tindakan memindahkan kuasa mengurus dana rakyat kepada seorang Ketua Cabang parti politik merupakan satu bentuk sakau yang kini dianggap boleh diterima,” katanya.

Mengulas lanjut, Lee berkata, peruntukan Parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat, bukannya untuk diurus oleh mana-mana jawatan parti politik.

“Jika tangkap layar ini tidak didedahkan, hanya kelompok tertentu yang rapat dengan kepimpinan cabang PKR akan mengetahui saluran baharu permohonan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Lee turut mengemukakan beberapa persoalan kritikal berhubung ketelusan dan tadbir urus penyaluran dana awam itu, termasuk menggesa SPRM menyatakan pendirian dari sudut integriti serta undang-undang.

Tambahnya, sekatan peruntukan dan portal MyKhas turut melibatkan kawasannya serta kawasan Parlimen lain seperti Subang dan Ampang, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada situasi sama berlaku di kawasan lain.

"Isu ini bukan mengenai kepentingan seorang anggota parlimen. Isunya ialah ketelusan, akauntabiliti dan hak rakyat Petaling Jaya untuk mengetahui siapakah yang kini menguruskan baki RM3 juta peruntukan kawasan mereka.

“Adakah dana tersebut masih kekal di bawah kawalan kerajaan dengan proses yang telus, atau adakah ia kini diurus melalui saluran yang dikendalikan oleh PKR?

“Kerajaan perlu menjelaskan mekanisme sebenar supaya tidak timbul persepsi bahawa wang rakyat telah menjadi dana parti,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS