Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kali terakhir Roghini Devi melihat Rocky masih bernyawa, namun anjing peliharaannya itu berada dalam keadaan lemah dengan leher dijerut tali yang dipegang beberapa individu di hadapan rumahnya.

Roghini berkata dia baru pulang selepas mengambil anaknya dari kelas tuisyen apabila mendapati jalan menuju ke rumahnya sesak dan dipenuhi orang ramai.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, anak sulungnya terlebih dahulu melihat Rocky ditahan oleh dua individu.

“Saya pergi dekat dia, saya nak ambil, saya nak peluk dia. Tapi anjing saya langsung tak ada apa-apa perasaan dekat saya, dia tak tengok saya.

“Saya suruh yang pegang, yang tarik, saya suruh lepas tetapi mereka tak nak lepas,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Persatuan Haiwan Malaysia (SAFM).

Sambil menunjukkan gambar Rocky kepada media, Roghini menyifatkan anjing itu sebagai sebahagian daripada keluarganya dan sering dibawa ke pelbagai tempat.

Dakwa Rocky ditahan kerana tiada lesen

Roghini berkata sebelum keluar mengambil anaknya, dia terlihat dua lelaki menaiki motosikal membawa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menangkap anjing.

Dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang kemudian mendapati beberapa individu berada di sekitar lorong kawasan perumahan dipercayai mencari anjing untuk ditangkap.

Pada masa sama, mereka dimaklumkan mengenai seorang kanak-kanak yang didakwa dikejar anjing berhampiran sebuah premis 99 Speedmart. Bagaimanapun, seorang peniaga burger memberitahu suaminya bahawa Rocky tidak terlibat.

Roghini berkata dia pada mulanya menyangka Rocky ditangkap pihak berkuasa tempatan dan boleh diambil semula kemudian.

Namun, apabila pulang, dia mendapati Rocky sedang ditahan menggunakan tali.

Menurutnya, individu yang menahan Rocky enggan melepaskan anjing itu kerana tiada lesen.

Dia mengakui belum mendapatkan lesen untuk Rocky dan bersedia menyerahkan sendiri anjing itu kepada pihak berkuasa tempatan.

“Saya kata tak apa, kalau nak ambil, saya boleh bagi. Saya bawa dia, saya sendiri boleh kasi.

“Saya tak halang. You nak, tak apa. Saya memang bersalah sebab saya tak ambil lesen.

“Saya merayu banyak kali pun mereka tak lepas, lagi dia tarik, tarik, tarik,” dakwanya.

Untuk rekod, portal rasmi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyatakan pemilik anjing bertanggungjawab mendapatkan lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

Dakwa dihalang menyelamatkan Rocky

Roghini berkata dia duduk di atas jalan sambil memangku Rocky dan meminta anaknya mengambil gunting untuk memotong tali pada leher anjing itu.

Namun, anaknya yang panik membawa sebilah pisau dapur dan usaha memotong tali gagal kerana terdapat kabel di dalamnya.

Dia mendakwa beberapa individu menghalang mereka berbuat demikian, malah seseorang menarik serta memukulnya menggunakan kayu.

Dalam keadaan tertekan, katanya, dia mengugut untuk membunuh diri sekiranya anjing itu tidak dilepaskan.

“Kalau tak bagi saya, tak apa biar saya bunuhkan saya sendiri.

“Mereka jawab, ‘Bunuhlah. Kita tak nak anjing. Kalau bunuh, tak apa. Biar bunuh, dua-dua sekali mati, lagi senang,’” dakwanya.

MBDK tiba selepas Rocky tidak bergerak

Menurut Roghini, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian, dua petugas MBDK tiba di lokasi.

Bagaimanapun, dia mendakwa Rocky sudah tidak bergerak ketika petugas cuba membuka tali pada lehernya.

“Masa mereka buka, anjing dah tak ada apa-apa. Rocky dah mati.

“Saya tanya sekarang macam mana, anjing dah boleh hidupkah?” katanya.

Roghini mendakwa seorang petugas memaklumkan Rocky mati kerana dia turut menarik anjing itu ketika cuba menyelamatkannya.

Bagaimanapun, dia menegaskan tiada petugas MBDK berada di lokasi ketika Rocky mula-mula ditahan.

Menurutnya, petugas MBDK terpaksa menggunakan alat pemotong untuk membuka tali berkenaan kerana terdapat kabel di dalamnya.

Roghini berkata dia menyedari Rocky semakin lemah ketika cuba memberinya minum.

“Bila tuang air, air langsung tak masuk. Air terus meleleh ke bawah,” katanya.

Jiran dakwa Rocky dipukul

Selepas kejadian, Roghini berkata beberapa jiran memaklumkan bahawa Rocky cuba berlindung di bawah sebuah kereta di anjung rumah jiran sebelum didakwa diheret keluar oleh empat individu.

Menurutnya, jiran mendakwa Rocky dipukul menggunakan kayu, besi dan paip PVC sebelum tali dijerat pada lehernya.

“Jiran beritahu mereka pukul sampai anjing saya terberak dekat sana.

“Lepas dia pukul macam tu, baru dia heret tali tu ke dalam leher anjing saya. Bila dia tarik je, dia punya lidah keluar dan anjing dah jatuh,” dakwanya.

Bagaimanapun, Roghini mengakui dia tidak menyaksikan sendiri bahagian awal kejadian dan hanya mengetahui perkara itu daripada jiran serta individu yang berada di lokasi.

Roghini berkata dia menghubungi polis selepas individu yang terlibat mula meninggalkan lokasi sebelum membawa bangkai Rocky ke Balai Polis Pandamaran untuk membuat laporan.

Menurutnya, pihak balai pada awalnya keberatan menerima laporan kerana tidak pasti jenis kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, laporan diterima selepas dia menunjukkan rakaman video kejadian yang tular di media sosial. Dia turut mendakwa keterangannya tidak direkodkan sepenuhnya.

Roghini kemudian mengebumikan Rocky sebelum menghubungi Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, dia kini menunggu laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi mengetahui punca sebenar kematian Rocky.

“Ramai orang telefon saya, suruh datang sana sini, pergi (serahkan) memorandum. Saya taknak pergi sebab khabar angin banyak di media sosial.

“Saya tunggu untuk satu sahaja, untuk laporan DVS, semua keadilan mesti keluar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS