mk-logo
Berita
Annuar jual pantun: Dalam berurusan janganlah sombong
Diterbitkan:  Aug 9, 2026 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

PN hari ini menghantar peringatan – sekali gus semacam amaran – kepada “parti-parti Melayu” yang ingin menjalin kerjasama dengan mereka kerana ia boleh membawa kesan yang tertentu.

Ketua Penerangan PN, Annuar Musa, sesuatu permuafakatan tidak harus dilihat dalam aspek pembahagian kerusi untuk memenangi pilihan raya semata-mata.

Sebaliknya, kata Annuar, ia memerlukan penghayatan dan kefahaman dasar perjuangan yang lebih besar, iaitu tanggungjawab yang dituntut agama untuk menyatukan ummah, menegakkan agama serta memperjuangkan bangsa dan tanah air.

“Parti-parti Melayu Islam yang bersatu padu dan tidak berpecah menjamin kestabilan yang sebenar, serta berupaya menaungi dan membela semua bangsa, kaum dan agama dalam negara kita,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas maksud kenyataan itu, bekas Setiausaha Agung BN yang kini menjadi seorang daripada watak penting PAS dan PN itu dipercayai merujuk isu perbincangan menghadapi PRN Melaka dengan BN.

Kerjasama itu adalah lanjutan kepada persefahaman yang dicapai kedua-dua parti gabungan di Johor dan Negeri Sembilan.

Pun begitu PAS awal-awal lagi menyatakan bahawa bentuk kerjasama tersebut adalah berbeza berbanding apa yang dicapai di dua negeri yang menjalankan PRN baru-baru ini.

Antara lain alasan PAS ialah, BN “kosong” dari segi wakil di kerusi parlimen.

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, pula memberitahu BN bercadang untuk mempertahankan semua 21 kerusi DUN Melaka yang dimenangi parti itu dalam PRN 2021.

Pendirian itu menjadikan PN – jika kerjasama tersebut terjalin – perlu mengagihkan bagi tujuh kerusi lain yang ada semasa parti komponen mereka.

Untuk rekod, daripada tujuh kerusi yang bukan dimiliki BN, lima dimenangi PH, manakala dua lagi PN melalui Bersatu.

Ab Rauf juga hari ini meminta semua pihak menghentikan sementara rundingan politik di media sosial, sebaliknya membicarakan secara rasmi isu berkenaan di meja rundingan.

Dia juga memaklumkan sehingga kini belum ada sebarang rundingan rasmi diadakan dengan PAS-PN berhubung pembahagian kerusi.

Dalam perkembangan sama Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa gabungan itu terbuka untuk mengadakan rundingan, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.

Bagaimanapun, katanya, sebarang rundingan perlu dijalankan secara jujur dan dengan niat baik.

Annuar berkata kebijaksanaan kepimpinan Melayu-Islam dituntut ketika ini agar kepentingan agama, bangsa dan negara didahulukan berbanding kepentingan puak atau peribadi.

Katanya, semua pemimpin perlu memberi keutamaan kepada persefahaman yang “sudah berputik” agar ia akhirnya membuahkan hasil.

Dia kemudian mengakhiri hantaran itu dengan pantun yang sinis:

“Tali yang putus sudah bersambung,
Tunggu diikat simpul mati;
Dalam berurus janganlah sombong,
Kelak yang dipikat habis lari.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS