Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Al-Rawda culas bayar award SAR899 juta, Tabung Haji mula jejak aset
Diterbitkan:  Aug 11, 2026 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

PARLIMEN l Lembaga Tabung Haji (TH) sedang meneruskan usaha mendapatkan baki award timbang tara daripada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd termasuk menerusi penjejakan aset selepas syarikat itu hanya membayar SAR14.9 juta daripada award berjumlah SAR899 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata TH mengambil segala langkah penguatkuasaan terhadap Al-Rawda tetapi syarikat itu didapati tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar amaun berkenaan.

“Pada November 2024, TH dan Al-Rawda memasuki Perjanjian Penyelesaian sebagai usaha untuk mendapatkan kembali jumlah SAR899 juta itu,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya Al-Rawda hanya membayar sebahagian daripada amaun yang dipersetujui sebanyak SAR14.9 juta sebelum gagal mematuhi terma perjanjian berkenaan.

“TH menamatkan Perjanjian Penyelesaian tersebut dan meneruskan usaha untuk mendapatkan baki award timbang tara termasuklah melantik syarikat perunding yang mempunyai kepakaran untuk melakukan penjejakan aset,” katanya.

Zulkifli berkata laporan RCI mengenal pasti Al-Rawda sebagai antara 14 pelaburan bermasalah TH yang dikaitkan dengan kerugian menjangkau berbilion ringgit.

“Pada 2015, 2016 dan 2017, TH memajak empat hotel di Mekah dan Madinah dan membayar kira-kira RM1.55 bilion secara pendahuluan (upfront) kepada Al-Rawda bagi pajakan selama 10 hingga 18 tahun.

“Ini adalah satu transaksi yang luar biasa dan tidak ‘normal’.

“Tidak cukup dengan itu, TH melantik Al-Rawda sebagai pengendali keempat-empat hotel tersebut melalui Perjanjian Pengurusan dan Operasi dengan pendapatan sewa pajakan berjumlah SAR2.49 bilion,” katanya.

Sebagai balasan, katanya TH hanya mendapat Nota Janji (PN) yang dijamin secara peribadi oleh pemilik syarikat Al-Rawda, Mashhoor Ali Omar Almadoodi.

Beliau berkata Al-Rawda gagal membayar pendapatan sewa sejak Mac 2019, menyebabkan TH menjalankan prosiding penguatkuasaan di Arab Saudi.

Prosiding timbang tara yang dimulakan Al-Rawda terhadap TH kemudiannya diselesaikan menerusi Keputusan Akhir bertarikh 16 April 2023 yang memihak kepada TH, dengan Al-Rawda diarahkan membayar SAR899 juta.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS