ANALISIS | Pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan menjadi ujian besar kepada kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN), khususnya bagi menentukan sama ada kedua-duanya sanggup membuat kompromi besar atau terus bersaing untuk mendominasi.
BN mahu bertanding di sebahagian besar kerusi dengan alasan gabungan itu perlu mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021. Ini bermakna PN hanya akan diberi tujuh kerusi untuk bertanding.
Bagaimanapun, hujah BN itu bersandarkan andaian yang lemah.
Keputusan PRN 2021 sangat tidak seimbang apabila kadar keluar mengundi yang rendah, iaitu 65.8 peratus akibat pandemik Covid-19, membolehkan BN memanfaatkan sistem pilihan raya pemenang undi terbanyak untuk menguasai 75 peratus kerusi meskipun hanya memperoleh 38 peratus undi.

Namun, hanya setahun kemudian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN gagal memenangi satu pun kerusi parlimen apabila kadar keluar mengundi melonjak kepada 79.2 peratus susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR).
Sebaliknya, PN dan Pakatan Harapan (PH) membahagikan penguasaan negeri itu dengan masing-masing memenangi tiga kerusi parlimen.
Analisis Malaysiakini sebelum ini mendapati peningkatan sokongan kepada PN didorong oleh gelombang sokongan dalam kalangan pengundi muda.
Selain itu, perbezaan 13.35 peratus dalam kadar keluar mengundi itu sebenarnya bersamaan dengan tambahan besar sebanyak 195,000 undi pada PRU15, berikutan pertambahan jumlah pemilih hasil pelaksanaan Undi18 dan AVR.

Dari segi peratusan undi pada PRU15, PN dan BN bersaing rapat dengan masing-masing memperoleh 30.9 peratus dan 29.6 peratus.
Jika corak pengundian PRU15 diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya negeri, PN diunjurkan memenangi 10 kerusi manakala BN hanya empat kerusi disebabkan sistem pemenang undi terbanyak.
Empat kerusi yang diramal dimenangi BN dalam senario itu ialah Merlimau, yang diwakili Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, serta Asahan, Ayer Molek dan Rim.

PH pula diunjurkan menguasai 14 kerusi dalam pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun, hanya empat kerusi dimenangi dengan majoriti mutlak melebihi 50 peratus, menunjukkan kerjasama BN-PN berpotensi merampas 10 lagi kerusi daripada gabungan itu.
Dari 10 kerusi berkenaan, BN menduduki tempat kedua di tujuh kerusi manakala PN menjadi naib juara di tiga kerusi.
Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis politik dari Universiti Sunway Wong Chin Huat berkata data tersebut menunjukkan BN tidak mempunyai kekuatan mahupun alasan yang wajar untuk menuntut dua pertiga dari keseluruhan kerusi seperti yang dilakukannya di Negeri Sembilan.

“Bagaimanakah 28 kerusi ini harus dibahagikan antara BN dan PN?
“Jika Umno menghormati PAS, pembahagiannya sekurang-kurangnya 15 kerusi untuk BN dan 13 untuk PN, dengan mengambil kira hakikat bahawa BN ialah kerajaan penyandang, tetapi lebih lemah berbanding PN,” katanya.
Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Farhana Mohamad Shukri berpendapat pembahagian sama rata 50-50 adalah lebih adil.
Menurutnya, pembahagian sedemikian memerlukan BN menyerahkan beberapa kerusi Melayu kepada PN manakala MCA diletakkan di kerusi yang berkemungkinan dimenangi PH.

Dia juga menjangkakan PN akan menuntut konsesi daripada BN dengan merujuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menolak tuntutan BN terhadap 21 kerusi sebagai “pandangan peribadi”.
Tuntutan tersebut sebelum ini disuarakan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, Syaza berkata perkiraan itu mungkin berubah sekiranya BN mempertimbangkan gesaan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari supaya rundingan diadakan antara rakan gabungan kerajaan Madani.

“Jika itu berlaku, ia akan mengubah perkiraan, bukan?
“Ia juga akan menguji sama ada PN sanggup memberi lebih banyak laluan kepada BN berbanding PH,” katanya.
