Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mahu audit bebas segera dijalankan terhadap program pasport Malaysia dengan tempoh sah 10 tahun yang kini digantung, selain menuntut pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Katanya, audit berkenaan perlu mengenal pasti pihak yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar itu, selain mendedahkan jumlah kos penuh bagi menggantikan pasport yang terjejas sehingga menimbulkan masalah kepada rakyat Malaysia di luar negara.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti mengarahkan audit bebas segera untuk mengenal pasti siapa yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar ini serta mendedahkan kos penuh penggantian pasport yang terjejas.
"Sebanyak 26,000 pasport sudah dikeluarkan sebelum masalah itu diperbetulkan. Jadi, perlu kenal pasti siapa yang meluluskannya, dedahkan kosnya dan pastikan mereka yang bertanggungjawab.
"Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan teknikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdepan masalah
Menurut Lim, Jabatan Imigresen mendedahkan kira-kira 38,000 pasport 10 tahun dikeluarkan sejak dasar baharu berkenaan diperkenalkan pada 1 Julai, dengan 26,000 daripadanya mengandungi tempoh sah melebihi 10 tahun akibat penambahan baki tempoh sah daripada pasport lama.

Keadaan itu menyebabkan beberapa pemegang pasport berdepan masalah pendaftaran masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara, sebelum Jabatan Imigresen menghentikan amalan berkenaan dan menawarkan penggantian pasport secara percuma.
“Kerajaan tidak boleh menjadikan rakyat sebagai bahan ujian dan kemudian menyifatkan perkara tersebut sebagai isu teknikal semata-mata.
"Ini kegagalan serius dalam perancangan dan ujian," katanya.
Menyusahkan rakyat
Pemimpin DAP itu turut membidas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban, semalam yang mempertahankan bahawa pasport melebihi 10 tahun tidak melanggar piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Secara teknikal, kenyataan itu mungkin betul, tetapi ia sama sekali terlepas daripada isu sebenar. Pasport bukan produk ujian. Ia mesti berfungsi dengan lancar apabila rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.
"Penjelasan itu juga menimbulkan persoalan yang jelas. Jika pasport dengan tempoh sah melebihi 10 tahun benar-benar boleh diterima, mengapa Jabatan Imigresen secara tiba-tiba menghentikan amalan itu dan menawarkan penggantian secara percuma?

"Agensi kerajaan tidak akan menggantung sesuatu program dan menanggung kos tambahan melainkan jika berlaku kesilapan besar," katanya.
Mengulas lanjut, Lim berkata tindakan memberikan penggantian percuma mengakibatkan pembaziran dana pembayar cukai bagi buku pasport, mikrocip, dan kos pentadbiran.
Selain itu, katanya, keputudan tersebut menyusahkan orang awam yang perlu mengambil cuti untuk beratur di kaunter imigresen.
