Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tikam rakan: Remaja 15 tahun diperintah bela diri atas tuduhan bunuh

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar prempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu.

Hakim Adlin Abdul Majid mengeluarkan perintah berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap remaja terbabit.

Keputusan disampaikan dalam prosiding tertutup pagi tadi memandangkan tertuduh adalah seorang bawah umur.

Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kredibel yang membuktikan elemen penting kesalahan tersebut.

Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh mengesahkan mengenai perintah mahkamah berkenaan.

Remaja itu didakwa membunuh mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun di dalam bilik tandas pelajar perempuan di SMK Bandar Utama Damansara (4) antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun tertuduh juvana tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.

Remaja itu didakwa atas kesalahan tersebut di mahkamah majistret Petaling Jaya pada 22 Oktober tahun lalu. Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan pada waktu itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Februari lalu, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.

“Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi termasuk tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa, pakar patologi serta pegawai penyiasat kanan untuk memberi keterangan,” kata peguam itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Memandangkan tertuduh masih di bawah umur, identiti remaja itu tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya, manakala keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.

Pada 30 Jan lepas, pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan selepas laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.

Pada 22 Okt 2025, remaja terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sekiranya didapati bersalah, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah di bawah umur 18 tahun.

Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut Seksyen 97(2) akta yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS