Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB nafi keluar kenyataan khusus sedia kerjasama dengan PAS

Pengerusi Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini menafikan dia pernah mengeluarkan kenyataan kononnya bersedia untuk bekerjasama dengan PAS di negeri itu.

Sebaliknya, kata Wan Rosdy, kenyataan tepat mengenai isu itu ialah Umno Pahang sedia bekerjasama dengan mana-mana parti demi rakyat negeri itu.

"Saya cakap (sedia) bekerjasama dengan mana-mana parti pun, demi rakyat Pahang, tapi bila keluar (berita) seperti saya cakap kerjasama dengan PAS.

"Maksud saya kita (kerajaan negeri) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, tapi kena bincanglah," katanya kepada media selepas majlis penyampaian inisiatif Makmur Pahang Kluster Pelajar Luar Negara, di Kuantan, Pahang, hari ini.

Seramai 122 pelajar menerima sumbangan kerajaan Pahang dan Yayasan Pahang pada majlis itu.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang mengulas laporan berita Rabu lalu yang memetik dia sebagai berkata, Umno Pahang tidak pernah menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PAS bagi persiapan menghadapi PRU ke-16.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata, pihaknya mengutamakan usaha penyatuan parti-parti Melayu termasuk Umno, namun bersedia berdepan mana-mana parti pada PRU ke-16 sekiranya usaha itu tidak mendapat persetujuan.

Ditanya mengenai status kerajaan perpaduan di Pahang ketika ini, Wan Rosdy menjelaskan semua wakil rakyat Umno dan PH mempunyai hubungan baik serta menjalankan tugas seperti biasa.

"Saya fikir kerajaan ini berjalan dengan baik dan boleh dikekalkan hingga PRU akan datang," katanya yang juga Naib Presiden Umno.

Ketika ini kerajaan perpaduan di Pahang dianggotai 17 Adun BN dan lapan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS