mk-logo
Berita

Parti Bersama bakal meletakkan Dr Muhammad Solehin Saleh yang juga abang kepada Dr Akmal Saleh sebagai calon di DUN Bemban pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang.

Walaupun berbeza wadah politik, Dr Solehin menjelaskan hubungan dengan adiknya yang juga ketua Pemuda Umno itu kekal harmoni.

"Mak ayah saya pun adik-adik untuk beri sokongan. Walaupun memang orang kata, banyak dekat luar-luar media kata-kata saya bergaduh.

"Tak, kami tak bergaduh, kami sangat baik. Dia adik yang baik, saya pun abang yang baik.

“Semua ok, saya berharap isu-isu yang melibatkan adik-beradik itu tak jadi masalah," katanya ketika ditanya pemberita mengenai hubungannya dengan Akmal, selepas majlis pengumuman calon Bersama di Melaka, malam tadi.

Solehin, bekas anggota Amanah dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Jasin bagi zon Bemban.

Presiden Bersama Syukri Razab mengumumkan 15 bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada satu majlis di negeri itu malam tadi.

Sementara itu, Solehin berkata dia dan Akmal telah lama membantu masyarakat menerusi kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebenarnya saya bergerak politik lebih kurang sama dengan dia (Akmal), tapi saya bukannya dalam parti yang sama. Sebelum ini saya di parti Amanah dan saya telah meletakkan jawatan.

"Jadi kalau di tempat saya pun, di Merlimau, di Bemban, kami sama-sama membantulah, kami banyak kerja-kerja NGO.

"Malah sebelum berpolitik pun kami buat kerja NGO. Jadi tak ada masalah siapa bayangi siapa, kami nak berkhidmat. Mana yang terbaik, rakyat boleh menilai dan memilih," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi Ramli berkata langkah Bersama membuat pengumuman awal calon bagi memastikan persediaan jentera parti berada pada tahap optimum.

"Pengumuman awal memberi ruang lebih panjang kepada calon untuk berkempen dan memperkenalkan diri kepada pengundi," kata Rafizi.

Katanya, 15 kerusi DUN yang dipilih itu berdasarkan profil dan unjuran sokongan asas yang baik, selain mengambil kira kesesuaian calon yang terdiri daripada anak tempatan atau individu yang dikenali oleh komuniti setempat.

"Parti memilih untuk mengutamakan kekuatan calon, karisma, keikhlasan, dan rekod kerja tempatan tanpa berspekulasi mengenai latar belakang keluarga calon lawan," katanya

Sementara itu, setiap bakal calon Bersama menandatangani akujanji yang meletakkan syarat pelanggaran perjanjian boleh dikenakan penalti sehingga RM2 juta.

Pada majlis malam tadi, mereka menyerahkan akujanji itu kepada Rafizi dan seorang lagi peneraju Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Berikut ialah senarai 15 bakal calon yang diumumkan Bersama berserta latar belakang mereka, menurut parti itu:

  • N01 Kuala Linggi: Ruzsyahriman bin Jenal (jurukur tanah profesional dan usahawan)

  • N06 Rembia: Muhamed Aman Akil bin Abdul Talib (guru al-Quran dan bahasa Arab)

  • N07 Gadek: Laveen a/l Balaprabhakaran (pengarah urusan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi)

  • N08 Machap Jaya: Prasanth Kumar Brakasam (lulusan undang-undang dan bekas PTTK menteri)

  • N11 Sungai Udang: Mohd Ridzuan bin Abdul Rahman (bekas pegawai kanan PDRM dan pakar keselamatan)

  • N13 Paya Rumput: Abdul Rashid bin Abu Bakar (peguam syarie dan aktivis politik)

  • N14 Kelebang: Young Jie Yu (bekas pegawai penyelidik dasar dan jurutera)

  • N15 Pengkalan Batu: Goh Han Koon (peguam dan rakan pengasas firma guaman)

  • N16 Ayer Keroh: Muhammad Muhaimin Lau bin Abdullah (peguam korporat dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertanian)

  • N17 Bukit Katil: Dr Aliza Che Amran (pensyarah UTeM dan pemegang PhD dalam bidang robotik dari Jepun)

  • N19 Kesidang: Dr Bryan Kek Kit Hun (pegawai perubatan dan pemilik klinik)

  • N20 Kota Laksamana: Ethan Lim Zhi Hao (pengasas Roboforce Academy dan aktivis STEM)

  • N23 Telok Mas: Muhammad Hazwan bin Mustafa (pengurus pemasaran berpengalaman dalam industri makanan dan minuman)

  • N24 Bemban: Dr Muhamad Solehin Saleh (doktor perubatan dan bekas Ahli Majlis Perbandaran Jasin)

  • N26 Serkam: Muhamad Saffie bin Md Yasan (anak tempatan dan bekas ketua pegawai teknologi maklumat UMK)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS