Perwakilan DAP Wilayah Persekutuan Sangeet Kaur Deo menggesa kepimpinan parti menilai semula hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil menuduh pengerusi PH itu memecah-belahkan rakan gabungan dan memperkasakan Umno.
Dia menegaskan demikian ketika membahaskan usul pada Kongres Kebangsaan DAP hari ini mengenai sama ada parti itu patut terus kekal dalam kerajaan atau tidak.
Sangeet berkata dia kesal terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan menunaikan janji, termasuk membanteras rasuah.
“Saya minta CEC kita menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar Ibrahim.

“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang dia lakukan?
"Dia memecah-belahkan kita. Melaga-lagakan kita sesama sendiri, memperkasakan Umno.
"Kenapa? Kita tidak boleh mengabaikan perkara itu,” katanya.
Sangeet berkata DAP perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini, tetapi berhujah alasan parti berbuat demikian sepatutnya untuk membina semula keyakinan rakyat dan memperkukuh kedudukannya sendiri, bukannya bergantung pada reformasi yang masih belum ditunaikan.

“Adakah kita kekal atau berundur? Buat masa ini, kita kekal. Namun, alasannya berbeza daripada apa yang anda dengar hari ini.
“Kita perlu kekal kerana DAP memerlukan tempoh beberapa bulan ini untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti.”
Walaupun mengakui pembaharuan yang dilaksanakan oleh menteri-menteri DAP, dia berkata parti itu terlalu banyak berdiam diri mengenai isu kontroversi bagi mengelakkan daripada “menggoncang kestabilan kerajaan”.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat skandal berkaitan rasuah yang semakin memuncak ketika kita berada dalam kerajaan.

“Kita berkuasa atas dasar bahawa kita akan membanteras rasuah. Adakah kita sudah melakukannya? Belum,” katanya.
Dia merujuk keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes membabitkan 47 pertuduhan, selain kontroversi yang menyelubungi SPRM.
Sangeet turut merujuk skandal “mafia korporat”, dengan berkata pemimpin DAP dalam kabinet menghadapi kesukaran untuk mempertahankannya.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa apabila skandal mafia korporat menjadi berita, para pemimpin kita dalam kabinetlah yang berdiri di sana dan bertanya kepada diri sendiri, bagaimana kita hendak mempertahankan perkara ini? Ia tidak boleh dipertahankan,” katanya.

“Apakah yang dikatakan oleh para pengundi? ‘Mana DAP?’ Di manakah suara anda? Mengapa anda berdiam diri?’” kata Sangeet, yang mempersoalkan jika DAP benar-benar boleh bekerjasama dengan Umno sedangkan parti itu terus menyerang DAP secara terbuka.
“Umno secara terbuka menyerang kita. Pada peringkat Persekutuan, kita sepatutnya bekerjasama dengan mereka.
“Adakah mereka rakan gabungan yang benar-benar boleh kita ajak bekerjasama,” soalnya.
Senada dengan kebimbangan mengenai pembaharuan yang terbantut, perwakilan Perlis, Chew Chin Li berkata menteri-menteri DAP harus kekal dalam kabinet sehingga Pilihan Raya Umum ke-16, dengan syarat kerajaan mempercepat pembaharuan dan usaha membanteras rasuah.

“Slogan ‘reformasi’ telah digambarkan sebagai ‘reformati’. Rakyat amat tidak berpuas hati kerana banyak dasar pembaharuan masih belum ditunaikan.
“Jadi, rakyat kecewa dengan Anwar, malah dengan DAP,” katanya.
Chew merujuk kegagalan memisahkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya, cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah parlimen, siasatan membabitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki serta DNAA kes Zahid.
“Rakyat tak puas hati. Anwar berkata beliau mahu memerangi rasuah, tetapi masalah ini masih wujud,” katanya.

Dia turut menggesa Anwar supaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap seteru politik DAP.
“Kita mesti melawan mereka habis-habisan. Anwar mesti melawan mereka. Anwar tidak seharusnya berlembut dengan mereka,” tegasnya.
Chew seterusnya berkata menteri-menteri DAP mesti mengekalkan standard yang tinggi sepanjang berada dalam kerajaan.
“Namun, menteri-menteri kita tidak boleh mengikut jejak langkah parti ‘sakau’. Anda tahu apa yang saya maksudkan.

“Menteri-menteri kita mesti mempunyai integriti yang tinggi dan meneruskan usaha baik dalam berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Sangeet berkata keputusan untuk kekal dalam kerajaan juga seharusnya memberi DAP masa untuk mendapatkan kembali suara dan kewibawaannya.
“Jadi, kekallah dalam kerajaan dan temukan kembali suara kita. Bersuara selagi kita berada di sana.
“Dan jika kita perlu menjadi pembangkang semula, sekurang-kurangnya kita telah membina asas dan memperoleh semula kewibawaan,” katanya.
Seramai 14 perwakilan membahaskan usul itu sebelum pengundian sulit diadakan dalam kalangan ahli secara individu bagi menentukan pendirian muktamad DAP sama ada untuk kekal atau keluar dari kerajaan Madani.
