Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Aku tak ampunkan kezaliman ini hingga kamu cium kaki anak-anak dan isteriku'
Diterbitkan:  Aug 17, 2026 10:37 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar mendakwa hampir tiga bulan tidak bertemu keluarganya di Sabah selepas disekat pihak berkuasa imigresen negeri itu.

Menurutnya, penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu yang pada awalnya disangka sebagai perjalanan biasa, kini menjadi penerbangan terakhirnya untuk bertemu isteri dan anak-anaknya di Sabah.

“Hampir dua bulan aku disekat masuk ke Sabah.

“Aku pun tak sangka, flight aku ke Kuala Lumpur pada 2 Mei bakal jadi flight aku terakhir untuk aku jumpa anak-anak dan isteri di Sabah. Kini dah hampir 3 bulan aku tak jumpa keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Asraf berkata, dia telah mengemukakan surat permohonan kepada Ketua Menteri Sabah serta Jabatan Imigresen Sabah atas nasihat rakan-rakan dan individu yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa,

Malah katanya, dia turut bertemu sendiri beberapa menteri di Parlimen bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab sekatan, namun tidak mendapat jawapan yang jelas.

"Ada yang kata aku perlu merayu supaya aku boleh masuk ke Sabah. Ada yang kata kenapa tak fikir anak isteri dulu sebelum nak beraktivisme. Yang kata ini dulu pernah melaungkan slogan muluk untuk keadilan, mempertahankan rakyat. Namun sebenarnya melacurkan diri untuk sampai ke kerusi empuk kekuasaan saja,” luahnya.

Asyraf pada 1 Julai lalu dilapor disekat masuk ke Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7 malam, sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

Tindakan itu berlaku beberapa jam selepas Asraf bersama beberapa aktivis berarak ke Parlimen Malaysia bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan "mafia korporat" yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Asraf menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap dirinya dan keluarga, selain mendakwa pihak berkuasa sendiri tidak menjelaskan kesalahan yang didakwa dilakukannya.

"Aku dan keluarga yang dizalimi, aku disekat, tetapi aku pula yang diperbuat seperti aku bersalah. Walhal mereka sendiri pun tak boleh nak beritahu apa kesalahan yang aku buat sampai aku disekat, melainkan main sentimen bodoh sahaja.

"Nak maklumkan kesalahan pun tak berani sebab semuanya penakut saja, guna kuasa untuk menindas orang. Menjilat dan menunduk untuk berdamping dengan orang-orang besar,” tegasnya.

Dia turut menyifatkan keadaan itu sebagai kegagalan dalam pentadbiran, khususnya apabila kuasa digunakan tanpa kejujuran untuk menekan rakyat yang bersuara.

"Kalau beginilah kekuasaan, maka ini adalah kecelakaan. Kuasa paling celaka adalah kuasa tanpa ada sebarang kejujuran dan akauntabiliti. Kuasa paling celaka adalah kuasa yang diguna untuk menindas. Ada kuasa namun menghenyak rakyat yang bersuara.

"Yang berkuasa, satu hari kamu akan jatuh juga. Di dunia dengan waktu yang singkat, mungkin kamu akan lepas. Namun Tuhan tidak tidur dan lupa. Aku tak akan ampunkan kezaliman ini sehingga kamu cium kaki anak-anak dan isteri aku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS