Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pengaruh Hussein Abu Hassan dalam sosok 'Cik Man'

ULASAN SENI | "Dek, bagi abang tempoh seminggu. Kalau abang tak bayar, ludah muka abang, potong jari abang," itulah dialog Cik Man atau Kamarool Yusoff yang menjadi ikonik dan selalu diingatnya.

Sebenarnya itu bukanlah dialog asli Kamarool, sebaliknya parodi bagi mengenang Hussein Abu Hassan.

Mereka yang pernah berurusan dengan seniman berkarismatik itu sedia maklum perkataan dek biasa diluahkan Hussein kepada golongan lebih muda daripadanya.

Dek ialah singkatan kepada perkataan “adik”. Penulis dalam beberapa sesi temu bual dengan Hussein – selain pernah menghantar dia ke rumahnya di Gombak Setia – pun pernah disapa dengan panggilan itu apabila kami rancak berborak hal famili atau seni.

Walhal usia penulis sama dengan anaknya, Fairuz, justeru sepatutnya dipangkatkan sebagai anak.

“Potong jari” adalah dialog ‘keramat’ Hussein lebih tiga dekad lalu. Ia bak api pembakar semangat Kamarool untuk komited jika mahu menempa nama dalam industri seni.

Terjadi satu insiden ketika proses alih suara filem Gila-Gila Remaja (GGR).

Sebagai anak Kelantan, memang lidah Kamarool ‘pekat’ dengan loghat negeri itu dan selaku pengarah GGR ia memang meresahkan Hussein.

Hal itu kerana watak Farouk yang dipegang Kamarool digambarkan sebagai anak jutawan di kota metropolitan, bukannya di Kota Bharu.

Untuk melancarkan sebutan Kamarool agar menepati kehendak skrip, spontan saja Hussein suntik kata-kata perangsang kepada pelakon itu yang baru cuba menempa nama dalam dunia seni.

“Potong jari abang dek, kau akan terkenal nanti,” kata Hussein yang juga seorang pelakon terkenal.

Melalui cerita Kamarool sendiri, bukan sekali dua Hussein meluahkan perkataan “potong jari” itu di hadapannya sebagai salah satu suntikan motivasi untuk menghayati watak yang diberi.

Selepas dua dekad dari GGR membawa ke Rock Oo! arahan Mamat Khalid, barulah apa diluahkan Hussein menjadi realiti.

Yang pasti pada awal kemunculannya, tidak mudah Kamarool untuk meraih publisiti.

Tempat Kamarool di mata editor

Majalah hiburan mana pernah mahu menjadikan Kamarool penghias muka depan mereka selepas dia muncul dalam GGR pada 1986.

Seingat penulis sendiri, ketika bekerja di majalah Kisah Cinta, cuma sekali publisiti untuk Kamarool diberikan iaitu pada 15 Mac 1988. Itu pun kerana ada news value menarik minat editor, M Jusoff Taib.

Beritanya berkenaan Kamarool menerima RM50 daripada Dr Mahathir Mohamad sewaktu perdana menteri itu berkunjung ke Pasar Seni.

Awalnya Kamarool berhasrat menyimpan duit yang diberikan Mahathir itu tetapi oleh kerana rakan acara baca puisi ada empat orang ketika itu, maka duit istimewa berkenaan terpaksalah diagihkan sama rata.

Pada waktu itu Pasar Seni memang sering menjadi lokasi Kamarool mendeklemasi puisi atau beraksi untuk pentas teater.

Dalam artikel itu juga dikisahkan impian Kamarool mahu bergambar bergandingan dengan penyanyi Liza Aziz. Tetapi siapalah Kamarool…

Katakanlah yang meluah hasrat itu ialah Eman Manan, Azmil Mustafa atau Dharma Harun Al-Rashid. Pastinya editor akan laju saja memberi arahan kepada penulis mengaturkan sesi fotografi.

Pada edisi tersebut penghias muka depan ialah Ella, manakala Datuk Shake menjadi pengisi halaman poster. Kulit belakang pula dihiasi kumpulan Gersang.

Turut mendapat tempat untuk halaman berwarna majalah itu ialah aksi Tina Turner di Kuala Lumpur, Elaine Kang, Ibnor Riza dan Ben Nathan.

Tidak ketinggalan mengisi kandungan Kisah Cinta dalam edisi itu ialah berita P Ramlee dan Rano Karno.

Lalu di mana kedudukan Kamarool di mata editor ketika itu?

Dua kali lima saja dengan industri filem yang tidak berani menonjolkan Kamarool sebagai watak utama. Ruang untuk dia hanyalah sebagai pembantu dan cameo.

Merantau semasa 19 tahun

Justeru jika tidak kerana RM50 daripada Mahathir serta impian Kamarool bergambar dengan Liza Aziz, kebarangkalian artikel mengenai pelakon itu dihumban ke bakul sampah adalah tinggi.

Sama hal juga jika tidak kerana watak Farouk dan Cik Man, apakah kehadiran Kamarool kita sedari dengan selayaknya?

Sebenarnya Kamarool begitu obses terhadap Hussein dan minatnya berakar sejak dia bersekolah pada awal 1970-an. Minat itu timbul selepas Kamarool menonton filem Amok Tok Nading dan Kembang Layu di televisyen.

Kedua-dua filem keluaran Merdeka Studio Hulu Klang itu diarah oleh S Kadarisman pada 1968 dan 1970.

"Nak tengok wayang duit tak ada, tapi saya sanggup ke pawagam semata-mata kerana nak lihat poster yang ada gambar Hussein Abu Hassan," cerita Kamarool.

Anak sulung Hussein, Dilla, sewaktu dihubungi berkata, perkenalan Kamarool dengan bapanya mungkin bermula di sebuah resroran di Bangunan Jaya di Jalan Haji Hussein di kawasan Chow Kit.

"Lokasi itu jadi port orang filem lepak jika tak ada aktiviti lakonan. Kamarool orang teater selalu ada di situ. Mungkin dari situlah bapak kenal dia," katanya.

Pada waktu sama, kata Dilla, Kamarool juga suka menonton persembahan live kumpulan The Sons Of Adam di Traffic Light, Bukit Bintang. Dilla merupakan vokalis utama kumpulan itu.

Kamarool terus mendapat kepercayaan Hussein apabila diberikan tempat dalam sebuah filem seram arahan seniman tersebut, Dendam Perawan Bunting, pada 1989.

Nama Kamarool diletakkan di tempat yang penting juga, iaitu selepas nama hero, Mustapha Kamal, dan heroin, Shila Lama.

Bagaimanapun filem tersebut tidak ditayang di pawagam sebaliknya diedar secara pita video saja, sesuai dengan teknologi pada zaman itu.

Sebelum merantau ke Kuala Lumpur pada usia 19 tahun, Kamarool mengasah bakat seninya dengan menyertai kelas lakonan di Kelantan dan teater di Terengganu bawah bimbingan seniman Marzuki Ali.

Kamarool turut meminati aktor dan aktivis teater ternama, Mior Hashim Manap. Takdirnya ketika menyertai Grup Teater Kreatif, Kamarool, berpeluang mendampingi Mior Hashim.

Kamarool (dua dari kanan) bersama ramai artis terkenal tanah air (dari kiri) Ebby Saiful, S Shamsuddin, Ahmad Tamimi Siregar, Mior Hashim dan Hussein Abu Hassan

Menurut Mior Hashim langkah awal Kamarool berkunjung ke Kuala Lumpur memang untuk mencarinya. Alasan Kamarool – dia mahu bercampur dengan orang seni.

"Alhamdulillah kami dipertemukan dan menjadi rakan yang rapat sewaktu bergiat aktif dalam Grup Teater Kreatif," katanya.

Sebelum itu sekitar 1984 Kamarool diuji dalam drama RTM, Che Su, yang mengisahkan seorang pemuda Kelantan mengurat orang gaji.

Bakat lakonan Kamarool dalam filem terus diasah Nasir Jani melalui Rozana Cinta 87. Dia membawa watak Sanusi.

Tak perlu terpekik terlolong

Dalam filem Mat Gelap arahan Zarul Al Bakri pada 1990 pula, Kamarool menjadi Al Kepong.

Bagi Mior Hashim, sikap hormat Kamarool kepada insan seni lebih senior tiada tolok banding.

"Setiap kali kami bertemu dan bersalam, dia akan cium tangan saya. Banyak momen pahit manis saya bersama Kamarool,” katanya.

Ironinya Kamarool sebagai Kamarool bukanlah seorang pelawak. Malah dia sendiri mengakui lebih cenderung memegang watak antagonis. Tetapi keunikan Kamarool menjadikan dia disenangi sebagai watak yang lucu.

Kelebihan itulah yang membuat Ropie, Sathiya, Ebby Yus dan Imuda terhibur ketika melihat aksi Kamarool memperkenalkan namanya Attahiya dalam satu sitkom.

Dalam filem Kasut Ku Kusut (KKK) arahan Pierre Andre, Kamarool menjadi Father Dragon, manakala Pablo Amirol sebagai pembantunya bernama Marcos.

Pablo Amirol juga aktor antagonis era kini tetapi dalam KKK muka ketatnya bertukar tersipu-sipu akibat disakat Kamarool.

Jauh beza dengan pelawak lain yang sesetengahnya terpaksa terpekik-pekik dan melakukan pelbagai aksi semata-mata untuk memaksa audien ketawa.

Kamarool dilahirkan pada 1958, dan meninggal dunia pada 5 Ogos lalu akibat saluran jantung tersumbat. Allahyarham meninggalkan isteri dan sepasang anak.

Jenazah seniman versatil itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima, Tanah Merah, Kelantan.

Dalam banyak temu bual, Kamarool sering menguar-uarkan gaya lakonannya selalu dibayangi gaya Hussein Abu Hassan.

Namun tanpa disedarinya, semakin jauh Kamarool melangkah dalam dunia seni, dia sudah mendapat identiti yang tersendiri.

Aksi memetik jari, mengucup kedua-dua tangan serta stail hisap rokok tangan bersilang Kamarool ternyata menjadi gaya ikonik yang sentiasa diingat orang.

"Adinda-adinda yang tersayang, abang pergi Kajang kejap jumpa promoter, lepas tu pergi beli makan, stand by," janji Cik Man depan band Lipan Bara sambil memetik jari serta mengucup kedua-dua tangannya.

Ia akan terpahat dalam ingatan kita semua.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita di akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS