Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengingatkan semua pihak supaya berhenti mengelirukan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dengan istilah tanah adat.
Baginda bertitah, perkara itu sudah jelas termaktub dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
"Istilah yang diperuntukkan secara khusus mengikut Akta 134 ialah ‘kawasan Orang Asli’ di bawah seksyen 6 dan ‘rizab Orang Asli’ di bawah seksyen 7.
"Ia boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.
"Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘tanah adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Kenduri Rakyat sempena Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, dekat Rompin, hari ini.

Hadir sama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak Orang Asli, bahkan hak dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut perlembagaan serta undang-undang.
“Namun hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli," titah baginda lagi.
Baginda juga menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dipercepatkan.
Akan pertahankan yang sah
Titahnya, sempadan yang jelas penting bagi memastikan kawasan diperuntukkan benar-benar terpelihara selain mengelakkan pertindihan serta peluasan tuntutan tanpa batas.
Mengulas status tanah, baginda memaklumkan daripada 264 kampung Orang Asli di Pahang, hanya 30 selesai diwartakan dan 16 sudah diberi milik tanah.
Ini menjadikan 46 mempunyai penyelesaian status tanah, manakala 218 kampung lagi masih tertangguh.
"Saya mahu perkara ini diperhalusi. Jika ada masalah, nyatakan masalahnya; jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya. Jangan dibiarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga menggesa lerajaan persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli bersama kerajaan Pahang memastikan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli dijaga sebaik-baiknya.
“Jangan dibiarkan mereka terpinggir, jangan dibiarkan mereka hidup susah dan jangan hanya datang apabila timbul pertikaian mengenai tanah," titahnya.
Baginda turut mengarahkan agar setiap kampung dan kawasan Orang Asli dikenal pasti status tanahnya satu persatu lalu dicari kaedah penyelesaian paling sesuai serta sah di sisi undang-undang.
“Hak Orang Asli yang sah, kita akan pertahankan. Kebajikan mereka, kita akan pelihara. Tetapi pencerobohan, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang tidak boleh dikompromi,” titah baginda.
