Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin mahasiswa disiasat atas dakwaan ugut lepas jumpa Zambry

Aktivis mahasiswa Adam Raiyan Abd Rahim disiasat polis berkaitan dakwaan ugutan selepas pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.

Adam yang juga Setiausaha Liga Mahasiswa Malaysia mempersoal alasan siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan dakwaan ugutan kerana menurutnya pertemuan mahasiswa dengan menteri itu lebih tertumpu kepada tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta mempercepatkan sesi dialog bersama gerakan mahasiswa.

“Kenapa kami sebut ‘mengugut’ kerana kami berdua dikenakan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berkait dengan ugutan,” katanya kepada Malaysiakini.

Adam Raiyan berkata dia dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekitar jam 10.40 pagi dan disoal siasat selama kira-kira setengah jam.

Menurutnya, sebanyak tujuh soalan dikemukakan kepadanya, namun soalan berkenaan didakwa lebih banyak berkaitan beberapa individu tertentu dan bukannya mengenai dakwaan ugutan terhadap Zambry.

Sebelum ini, aktivis mahasiswa Brendon Gan, yang juga Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) turut disiasat polis di bawah perundangan sama susulan hantaran media sosial selepas pertemuannya dengan Zambry pada Jun lalu.

Sementara itu, Adam menegaskan bahawa siasatan yang dilakukan pada hari ini tidak patut dilakukan kerana ia hanya membazirkan masanya sebagai mahasiswa.

“Apa yang berlaku pada hari ini adalah tindakan seorang menteri pengecut yang takut berhadapan dengan mahasiswa, menteri yang takut berhadapan dengan kritikan, menteri yang takut apabila perkara-perkara yang berlaku di bawah portfolio beliau terdedah kepada pihak awam dan juga pihak umum,” katanya.

Menurut Adam, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peguam Sitinur Sabrina Mohammad

Peguam kepada Adam, Sitinur Sabrina Mohammad berkata pendapat dan suara mahasiswa sepatutnya didengari dan tidak dilayan sebagai satu ancaman.

“Suara-suara ini patut didengar dan diambil sebagai satu pendapat dan pandangan dan bukannya satu ancaman,” katanya.

Adief Al Syarif

Wakil Liga Mahasiswa Malaysia, Adief Al Syarif, yang turut hadir memberi sokongan kepada Adam berkata mereka mengecam tindakan pihak berkuasa yang didakwa mengheret mahasiswa ke balai polis hanya kerana menyuarakan pandangan.

Menurutnya, tindakan berkenaan mencerminkan sikap hipokrit kepimpinan kementerian.

Adief berkata sebelum ini Zambry sendiri menyatakan isu mahasiswa perlu diselesaikan melalui dialog dan bukannya tindakan perundangan.

Namun, katanya, apabila mahasiswa tampil membawa suara kritikal, laporan polis pula digunakan sebagai tindakan untuk menutup suara mahasiswa.

“Sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu memansuhkan Auku dan mengembalikan kebebasan akademik, mahasiswa tidak sepatutnya ditekan atau disiasat,” kata Presiden Liga Mahasiswa UTM itu semasa sidang media.

Dalam pada itu, Liga Mahasiswa Malaysia mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kementerian iaitu menarik semula laporan polis terhadap mahasiswa dengan serta-merta, menghentikan segala bentuk intimidasi dan tekanan undang-undang terhadap aktivis mahasiswa dan membentangkan garis masa yang jelas dan telus bagi proses pemansuhan Auku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS