Cadangan kerajaan untuk memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) mampu membuka ruang yang luas kepada kebebasan mahasiswa dan akademik serta memupuk budaya intelektual yang lebih terbuka dan matang.
Ahli Dewan Negara Senator Dr Jufitri Johar berkata langkah itu selari dengan usaha memastikan mahasiswa sebagai warganegara dewasa tidak lagi tertakluk kepada rejim undang-undang yang berasingan dalam perkara berkaitan kebebasan bersuara, berpersatuan dan penglibatan dalam isu awam.
“Justeru, pendirian Perdana Menteri bahawa tiada lagi ruang untuk ‘pindaan kosmetik’ dan bahawa undang-undang jenayah am serta peraturan disiplin sedia ada sudah memadai untuk menangani sebarang salah laku mahasiswa adalah pendekatan yang matang,” katanya kepada Bernama.
Sebagai bekas Presiden Majlis Belia Malaysia yang membesar dalam tradisi aktivisme mahasiswa menerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jufitri berkata beliau memahami secara peribadi beban sejarah yang dibawa AUKU sejak digubal pada 18 Mac 1971.
Beliau berkata akta berkenaan lahir daripada iklim politik pasca 1969 dan peruntukan Seksyen 15 yang asal telah selama lebih empat dekad dilihat mencengkam kebebasan mahasiswa.
“AUKU sewajarnya telah lama dipinda oleh kerajaan memandangkan undang-undang ini dahulunya bercanggah dengan semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan kepada setiap warganegara,” katanya.
Beliau turut menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jemaah Menteri untuk memastikan cadangan pemansuhan AUKU bukan sekadar simbolik tetapi benar-benar memulihkan ruang demokratik di kampus, termasuk kebebasan menubuhkan persatuan, kebebasan bersuara secara terbuka mengenai isu-isu awam dan hak mahasiswa untuk turut serta dalam proses politik negara tanpa rasa gentar.
Pada masa sama, beliau mencadangkan pemansuhan AUKU mesti dilaksanakan secara inklusif dan telus dengan penglibatan sepenuhnya badan-badan mahasiswa, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.
AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
Sementara itu, pakar pengajian tinggi Profesor Datuk Dr Azizul Halim Yahya berkata cadangan pemansuhan AUKU merupakan langkah berani kerajaan dalam memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk menikmati kebebasan bersuara, setelah isu tersebut melalui fasa perbincangan yang berlarutan sejak berpuluh tahun tanpa adanya pelaksanaan konkrit.
“Pengumuman Perdana Menteri menunjukkan keberanian dan keikhlasan kerajaan untuk meningkatkan mutu kepimpinan mahasiswa dan menjadi pemimpin pelapis yang hebat.
“Negara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia juga memberikan kebebasan bersuara kepada pelajar, jadi usaha sama yang mahu dilaksanakan Malaysia juga seharusnya diberikan perhatian dan disambut baik,” katanya.
Azizul berkata walaupun AUKU dimansuhkan kelak, mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang lain yang berkuat kuasa sebagai warganegara termasuk peruntukan berkaitan penghinaan dan fitnah yang boleh membawa tindakan lebih berat sekiranya sesuatu perbuatan memenuhi kesalahan di bawah undang-undang berkenaan.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan pemansuhan AUKU bukan bermaksud mahasiswa memperoleh kebebasan tanpa batas, sebaliknya mereka perlu lebih matang dan bertanggungjawab dalam menggunakan ruang kebebasan yang diberikan.
Selain itu, kebebasan yang lebih luas juga perlu dimanfaatkan sebagai proses pembelajaran bagi membentuk mahasiswa yang lebih matang dalam menilai maklumat, menyuarakan pandangan dan menentukan pendirian terhadap sesuatu isu.
- Bernama
