Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Siapa Lim You, pemain muda M’sia yang dibandingkan peminat dengan Mo Salah
Diterbitkan:  Aug 19, 2026 12:20 PM
Dikemaskini: 7:30 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan maklumat.


Penyerang wanita Bawah 16 Tahun (B16) Malaysia, Lim You mencuri tumpuan di kejohanan Piala Srikandi Merdeka di Indonesia selepas meledak tujuh gol dalam kemenangan besar 9-0 ke atas Arab Saudi untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Pemain 14 tahun itu, yang mempunyai warisan Malaysia-Amerika, membuktikan reputasinya dengan tendangan kaki kiri berbahaya dengan meledak enam gol dari jarak jauh, termasuk tendangan percuma.

Ia membuktikan bukan sahaja kekuatan malah ketepatan dan ketenangannya.

Pesta gol Malaysia bermula pada minit kelapan, sebelum Lim mencetak dua lagi gol pada minit ke-22 dan ke-27 untuk melengkapkan hatrik pada babak pertama. 

Selepas waktu rehat, Lim menambah empat lagi gol, termasuk satu sepakan penalti, untuk melengkapkan jumlah tujuh gol yang luar biasa.

Mia Alysa dan Ku Nur Qaleysha menyumbang dua lagi gol.

Kemenangan mengagumkan Malaysia itu dicapai walaupun beraksi dengan kurang seorang pemain selepas Dishanna Pillay, juga seorang pemain warisan dari Kanada, dilayangkan kad merah pada minit ke-21.

Aksi memukau Lim sudah mula dibandingkan dengan bekas bintang Liverpool Mohamed Salah, dengan peminat membandingkan penyerang muda itu dengan kebolehan menjaringkan gol bintang Mesir berkenaan.

Pemain remaja itu memulakan perjalanan bola sepaknya di Akademi XF di Amerika Syarikat sebelum mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan media, ia merupakan kali pertama pemain bolasepak wanita Malaysia menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan antarabangsa rasmi, sekali gus meletakkan Lim dalam buku rekod pada usia baru 14 tahun.

Kemenangan bergaya itu turut menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan A menerusi perbezaan gol, terikat empat mata dengan Hong Kong, dan melayakkan diri ke separuh akhir dengan penuh gaya.

Dalam perlawanan semalam, Malaysia menunjukkan dominasi hebat dengan penguasaan bola sebanyak 63 peratus peratus berbanding Arab Saudi (37 peratus)

Pasukan negara mencatat 24 percubaan dengan 14 percubaan tepat.

Cucu Chef Wan

Selain Lim You dan Pillay, Malayan Tigress turut diperkuat dengan dua lagi pemain warisan iaitu Isabella O’luanaigh dan Sofia Jeanne Lacasse.

O’luanaigh adalah cucu kepada tukang masak terkenal Chef Wan atau Redzuawan Ismail.

Keempat-empat pemain berdarah campuran itu mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat dan Kanada. 

Malaysia akan bertemu juara Kumpulan B, dengan Thailand antara pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Kedudukan akhir Kumpulan B akan ditentukan selepas aksi terakhir kumpulan itu hari ini. 

Selain Malaysia, Garuda Pertiwi (Indonesia) sebagai juara kumpulan juga turut melangkah ke peringkat separuh akhir.

Piala Srikandi Merdeka 2026 dianjurkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan kerjasama Bakti Olahraga Djarum Foundation. Ia berlangsung dari 14 hingga 23 Ogos di Supersoccer Arena, Kudus, Jawa Tengah.

Ia merupakan kejohanan bola sepak wanita antarabangsa pertama yang dianjurkan di Kudus, selain menjadi medan persiapan dan pencarian bakat bagi skuad wanita B17 Indonesia menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027.  

Kejohanan itu disertai lapan pasukan - dua wakil Indonesia, Garuda Pertiwi dan Putri Nusantara serta Malaysia, Thailand, Hong Kong, Singapura, Arab Saudi dan Jordan. 

Lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan juara dan naib juara setiap kumpulan mara ke separuh akhir, sebelum pemenang kedua-dua aksi itu bertemu di perlawanan akhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS