Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC gantung operasi bahagian Port Dickson, Saravanan dilantik penyelaras

MIC menggantung sementara operasi bahagiannya di Port Dickson berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan penyusunan semula barisan pemegang jawatan dan struktur organisasi bahagian berkenaan.

Keputusan itu dimaklumkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim menerusi surat bertarikh 18 Ogos yang dihantar oleh Setiausaha Agung MIC S Ananthan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ananthan mengesahkan kesahihan surat tersebut.

"Saya sahkan MIC menulis surat kepada menteri besar," katanya secara ringkas.

Menurut Ananthan, keputusan penggantungan itu dibuat menerusi ketetapan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

Parti itu turut melantik Timbalan Presiden MIC M Saravanan sebagai penyelaras Bahagian Port Dickson bagi mengurus dan menyelaraskan segala hal ehwal politik serta urusan rasmi bahagian tersebut sepanjang tempoh penyusunan semula.

"Dengan pelantikan ini, segala urusan, perbincangan, komunikasi dan rundingan berkaitan MIC Bahagian Port Dickson hendaklah disalurkan dan dirujuk terus kepada Saravanan," jelas surat berkenaan.

Surat yang dilihat Malaysiakini itu turut menyatakan kepimpinan dan pemegang jawatan terdahulu di peringkat bahagian tidak lagi mempunyai mandat untuk mewakili parti atau menjalankan sebarang urusan rasmi bagi pihak MIC bahagian Port Dickson sepanjang tempoh penggantungan.

Penyusunan semula itu akan terus berkuat kuasa sehingga ketetapan lanjut dibuat oleh kepimpinan pusat MIC.

Keputusan tersebut dibuat tidak lama selepas PRN Negeri Sembilan, yang menyaksikan MIC meletakkan Ketua Bahagian Port Dickson Achuthan Alagan sebagai calon BN di DUN Sri Tanjung.

Dalam pertandingan lima penjuru itu, Achuthan tewas kepada calon PH G Rajasekaran yang mempertahankan kerusi berkenaan.

Rajasekaran memperoleh 6,702 undi, manakala Achuthan meraih 5,367 undi, sekali gus memberikan calon PH itu majoriti 1,335 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS