Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perancangan Rejimen Gerak Khas diperkenan Agong tidak wajar diubah'
Diterbitkan:  Aug 20, 2026 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Semua pihak yang terlibat dalam merancang pembangunan Rejimen Gerak Khas (RGK) diingatkan supaya tidak mengubah keputusan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim demi kepentingan pihak tertentu.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah setiap perancangan dan pembangunan RGK perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda selaku Kolonal Komandan Rejimen Gerak Khas serta dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi keselamatan serta kedaulatan negara.

“Apa jua yang diperkenankan tidak seharusnya berubah hanya disebabkan kepentingan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas apa yang dirancang dengan baik sebelum ini.

“Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi,” titah baginda ketika berucap pada Majlis Perbarisan bersempena dengan Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Mersing hari ini.

Baginda turut menyatakan teguran berhubung perkara berkaitan pengurusan di Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya tahu siapa yang kawal KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pertahanan. Insya-Allah kita akan berjumpa pada masa yang terdekat. Tujuan saya adalah untuk selesaikan ‘kanser’ yang tidak patut wujud dalam ATM,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah pucuk kepimpinan Kementerian Pertahanan, ATM dan Tentera Darat Malaysia mempunyai tanggungjawab memastikan keperluan RGK dari segi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan serta aset operasi berada pada tahap terbaik.

Baginda bertitah keperluan itu semakin penting memandangkan landskap keselamatan kini jauh lebih kompleks dan sukar diramal susulan perubahan geopolitik Indo-Pasifik, perkembangan di Laut China Selatan serta persaingan kuasa-kuasa besar.

“Kita tidak boleh merasa selesa dengan keupayaan yang sedia ada. Oleh sebab itu, tindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerak Khas perlu berada pada tahap terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa hadapan,” titah baginda.

Pemangku Sultan Johor turut menggesa kerajaan memastikan segala proses pembangunan dan perolehan dibuat berdasarkan keupayaan, kualiti, keberkesanan operasi serta nilai terbaik kepada RGK.

Baginda bertitah setiap rancangan pembangunan dan perolehan RGK menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu diberi keutamaan dan perhatian serius, termasuk mengambil kira teknologi terkini, keberkesanan kos, kesesuaian operasi serta keperluan jangka panjang.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa soal kebajikan dan perancangan kerjaya anggota juga perlu diurus secara telus serta berasaskan merit tanpa ruang kepada kepentingan peribadi atau budaya pilih kasih.

“Tidak seharusnya wujud ruang untuk kepentingan peribadi. Budaya pilih kasih atau pertimbangan yang tidak berasaskan merit dalam menentukan masa depan seorang anggota, kegagalan sistem dan pengurusan yang dilaksanakan secara tidak telus akan memberikan implikasi kepada keperluan organisasi,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan setiap warga RGK supaya mengekalkan tahap kemahiran, ketahanan fizikal dan mental, integriti serta kesetiaan kepada raja dan negara berlandaskan Sumpah Prajurit Komando.

Tunku Mahkota Ismail bertitah anggota dan pegawai RGK perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi kerana pasukan itu merupakan “tip of the spear” dalam menghadapi ancaman terhadap keselamatan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS