Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS tak sentiasa mampu bantu kewangan, tapi boleh beri ketenangan'
Diterbitkan:  Aug 21, 2026 10:01 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Pemuda PAS berkata, pendekatan parti itu terhadap golongan muda adalah lebih daripada sekadar melibatkan kebendaan.

Sebaliknya, kata ketua sayap PAS itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden, ia turut melibatkan aspek kehidupan berkeluarga serta penyertaan dalam masyarakat yang lebih.

Dipetik oleh lidah rasmi PAS, Harakahdaily, sempena program Liqa’ Fikri Pemuda PAS Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, Afnan Hamimi berkata seseorang yang sudah berkeluarga memang akan berdepan dengan cabaran masing-masing.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi, PAS boleh menjadi wadah untuk memberi ketenangan serta ruang untuk mereka terus melakukan kebaikan dan perkara yang bermanfaat secara tekal.

“PAS mungkin tidak dapat membantu dengan kewangan dalam semua keadaan, tetapi kita boleh memberikan ketenangan dan tugas untuk diselesaikan.

“Setiap usaha yang baik, Allah akan membalasnya dengan kebaikan dan membantu menyelesaikan masalah kita,” katanya.

Dalam program itu Afnan Hamimi turut menegaskan tanggungjawab besar yang dipikul Pemuda PAS untuk membina jambatan kerjasama antara kelompok politik bagi “mempertahankan Islam” serta kepentingan rakyat.

Katanya, tindakan tersebut selari dengan Fasal 6 Perlembagaan PAS yang antara lain menggariskan usaha menyeru manusia supaya mengenali Islam.

Sesuai dengan hal itu, tambahnya, Pemuda PAS boleh menjadi penghubung antara PN dengan Umno agar supaya perpaduan yang digerakkan mereka mampu menjadi kenyataan dan bermula dari peringkat bawa.

“Kita pernah melihat Pemuda PAS menjalinkan hubungan dan mengadakan perbincangan dengan Pemuda Umno di Negeri Sembilan ketika menghadapi PRN Negeri Sembilan baru-baru ini kerana itu hubungan perlu diteruskan dan kitalah jambatannya,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS