mk-logo
Berita
Jangan lindungi rasuah Tabung Haji - Anwar bidas Hadi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini membidas tohmahan bahawa Putrajaya menyasarkan badan Islam dalam usaha membanteras rasuah dan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) .

Anwar berkata siasatan terhadap agensi seperti TH dijalankan kerana badan itu terletak di bawah kerajaan dan mempunyai isu yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Perdana menteri berkata tindakan sedemikian tidak sepatutnya dijadikan isu kaum atau agama.

“Malah kalau tanya saya, orang Islam, orang Melayu patut lebih bersungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai kerana kita patut jadi contoh.

“Dalam dakwah ini, dakwah bilhal (melalui teladan). Dakwah paling berkesan ini dakwah contoh.

“Kita mesti memerangi dadah, tapi dadah banyak dalam kalangan kita. Kita mesti lawan rasuah, tapi yang pelahap rasuah pun ramai dalam kalangan kita. Jadi, itu bukan contoh.

“Tapi kadang-kadang sukar nak diberi penjelasan kerana orang tak senang dengan perkara ini,” kata Anwar ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pengurus Felda di Bangi pagi tadi.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, difahamkan pengerusi Pakatan Harapan itu merujuk kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ahli parlimen Marang semalam menerbitkan sebuah artikel panjang yang mengaitkan kritikan terhadap dakwaan salah laku dalam TH dengan apa yang didakwanya sebagai cubaan mencemarkan imej Islam.

Hadi mendakwa isu TH diperbesar-besarkan oleh “segelintir” pihak yang mensensasikan perkara itu dengan niat jahat untuk memalukan umat Melayu-Islam berhubung salah laku berkenaan.


BACA: Isu Tabung Haji: Jenama Islam jadi sasaran, dakwa PAS


Menurut Anwar, individu yang diteliti pihak berkuasa disasarkan kerana mereka didakwa mengkhianati amanah yang diberikan, bukannya kerana latar belakang agama, kaum atau politik.

“Saya tak tahu siapa yang salah atau tidak. Siasatlah. Kalau salah, salah. Saya tak kira parti mana.

“Dalam senarai yang ada itu, kita bukan pilih kerana dia ahli mana-mana parti.

“Ia kerana tanggungjawab yang diberikan dan dia khianati amanah,” katanya.

Perdana menteri turut melahirkan kekesalan terhadap sikap sesetengah pihak yang seolah-olah tidak terganggu dengan masalah rasuah.

“Ini bila ada masalah kes rasuah, tak bolehlah sebab ini badan Islam. Jangan kita hebahkan, malu kita.

“Tak betul. Kita harus jadi contoh.cKalau dah berlaku, kita jadi contoh bahawa kita mahu bersihkan. Orang boleh terima,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS