Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Alumni, ibu bapa persoal KPM bina bangunan atas padang sekolah

Ibu bapa dan alumni mempertikaikan logik Kementerian Pendidikan (KPM) membina bangunan tambahan dua tingkat di kawasan padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang.

Mereka berkata sekolah itu mempunyai tapak lain yang mengandungi bangunan usang yang lebih sesuai dirobohkan untuk tujuan pembinaan baru.

Menurut mereka padang berkenaan merupakan satu-satunya ruang bagi hampir 1,000 orang murid menjalankan aktiviti sukan, kokurikulum dan pendidikan jasmani.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Alumni SJKT Rawang, S Suresh Rao menegaskan bahawa sekolah 96 tahun itu amat memerlukan padang tersebut untuk perkembangan fizikal dan mental murid-murid.

"Padang tersebut amat penting untuk aktiviti murid termasuklah sukan, permainan, kokurikulum dan pendidikan jasmani. Adakah pihak KPM tidak menyedari kepentingan padang untuk murid?

"Mengapa mahu korbankan padang sedangkan ada tapak alternatif lain," katanya.

Terdahulu, sekumpulan ibu bapa dan alumni mengadakan perhimpunan bantahan di luar pekarangan sekolah. 

Ia merupakan protes kali kedua diadakan selepas bantahan pertama yang berlaku pada awal bulan ini.

Menurut Suresh selepas bantahan pertama, pegawai kementerian mengadakan lawatan ke sekolah dan meminta “sedikit masa” bagi mencari penyelesaian terbaik.

Namun, katanya, mereka risau kerana kerja pembinaan masih diteruskan.

Suresh berkata mereka sanggup menanggung kos merobohkan bangunan usang di sekolah itu untuk dijadikan tapak pembinaan bangunan baru.

"Kami juga sanggup membina tandas dan pagar semuanya atas daya usaha penduduk dan ibu bapa sendiri demi menyelamatkan padang sekolah kami," jelasnya lagi.

Suresh meminta campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mempertimbang permintaan mereka.

Malaysiakini telah menghubungi KPM dan pejabat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas, setakat laporan ini ditulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS