Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beli tongkat Hadi RM16,500 bukan kerana taasub -  Muqharabbin
Diterbitkan:  Aug 24, 2026 12:47 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
1

Membeli tongkat kayu kemuning dengan harga RM16,500 bukanlah murah. 

Tetapi bagi pemilik barunya Muqharabbin Mokhtarrudin, ia bukan dibuat kerana rasa taasub kepada pemilik asalnya Abdul Hadi Awang yang juga presiden PAS.

“Saudara, kenapa saya bida tongkat ayah cik Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang? 

“Bukan kerana nilai sebuah tongkat dan bukan kerana taksub kepada manusia tapi kerana ia menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” kata Muqharabbin, yang terkenal sebagai pendaki termuda Gunung Everest ketika berumur 22 tahun.

Malam tadi, Muqharabbin memenangi bidaan tongkat itu dengan harga RM16,500 dalam lelongan amal bagi mengumpul dana pilihan raya negeri Melaka.

Bidaan bagi tongkat kayu kemuning yang mempunyai ukiran TGHH–mewakili perkataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang–dimulakan dengan harga RM2,500.

Tongkat kayu kemuning dikenali sebagai tongkat berkualiti. Ia biasanya dijual antara RM50 ke ribuan ringgit, mengikut jenis dan kualiti.

Muqharabbin adalah pemimpin akar umbi PAS Kuala Lumpur yang pernah bergiat bersama Umno dan Bersatu.

Dua menyertai PAS kira-kira dua bulan lalu.

‘Momen terindah’

Sementara itu, bercakap di media sosial pagi ini, Muqharabbin menyifatkan malam tadi menjadi momen terindah buat dirinya.

“...dapat berada dekat dengan seorang murabbi serta dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan juga insya-Allah PAS Malaysia,” katanya.

Katanya, tongkat itu akan menjadi peringatan kepadanya bahawa kekuatan jasmani itu tidak kekal.

“Namun yang paling penting tongkat ini menjadi ingatan kepada diri saya sendiri. Ya, ingatan keras. 

“Hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mampu mendaki puncak tertinggi dunia, mampu berlari 50km, mampu berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang di mana saja.

“ Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat sama,” katanya.

Justeru, katanya, selagi Allah melanjutkan usia dan memberikan kudrat, “berjuanglah walau di mana kita berada.” 

“Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu. Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah.

“Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar baginda.”

Dia juga berkata, angka 165 dalam bidaan RM16,500 melambagkang satu ihsan, enam rukun iman dan lima rukun Islam. 

Nombor kosong pula, katanya, melambangkang dunia kita tinggalkan tanpa membawa apa-apa yang kita ada. 

“Bukan tafsiran agama terhadap angka sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, iman dan ihsan hingga akhir hayat. 

“Kerana akhirnya segala yang ada di bumi itu akan binasa,” katanya.

“Sebuah tongkat, sebuah kenangan tetapi membawa peringatan keras dan besar sepanjang kehidupan saya.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS