Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah menyifatkan jawapan bertulis kerajaan Selangor terhadap soalan lisannya mengenai Universiti Selangor (Unisel) sebagai “pemalas”.
Shafie berkata dia menerima jawapan bertulis itu minggu lalu selepas soalan berkenaan tidak sempat dijawab secara lisan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana kekangan masa.
Menurutnya, kesemua tiga soalan yang dikemukakan wakil rakyat PAS berkaitan Unisel hanya dijawab dengan “tiada maklumat”.
“Senang punya kerja, kan.
“Satu daripada 10 soalan lisan saya kepada kerajaan negeri Selangor dalam sidang DUN baru-baru ini adalah seperti berikut,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Soalan itu mengenai kaedah pentadbiran Unisel mempromosikan universiti itu bagi menarik kemasukan pelajar, jumlah pelajar dari China serta rancangan membentuk institusi yang boleh menjadi pemangkin kepada kemasukan pelajar.
Shafie berkata soalan itu sepatutnya dijawab secara lisan dalam persidangan DUN, namun berikutan masa yang tidak mencukupi, ia kemudiannya dijawab secara bertulis.
“Tak apa, asal ada jawapan.
“Saya terima jawapan bertulis minggu lepas. Tuan-tuan tengoklah jawapannya!
“Pemalas!” katanya.

Dia turut mempersoalkan bagaimana Unisel boleh berkembang sekiranya persoalan berkaitan usaha menarik pelajar dan pengambilan pelajar antarabangsa tidak dapat dijawab oleh pentadbiran negeri.
“Macam mana Unisel nak maju?” katanya, sambil menggunakan tanda pagar #SelangorDeservesBetter.
Dalam dokumen jawapan bertulis yang dikongsikan Shafie, ketiga-tiga soalan berkenaan masing-masing tertera jawapan “Tiada maklumat”.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Pejabat Menteri Besar Selangor.
