Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dua Adun pembangkang di Pahang mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar sehingga pilihan raya akan datang.

Mereka ialah Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus.

Kenyataan bersama kedua-dua Adun Bersatu itu dikeluarkan kira-kira jam 1 pagi tadi di Kuantan.

“Pendirian ini dipersetujui pucuk pimpinan parti (Bersatu) dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di Pahang dan kebajikan rakyat di kedua-dua DUN yang kami wakili.

Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin.

“Dengan muafakat yang dicapai bersama menteri besar Pahang, kami percaya pembangunan dan kesejahteraan rakyat di DUN Kuala Sentul dan DUN Lepar akan terus diberi tumpuan oleh kerajaan Pahang,” kata kenyataan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Jasri menjelaskan sokongan kepada Wan Rosdy tidak bermakna mereka menyertai Umno.

“Tidak masuk Umno... kami kekal dalam Bersatu, cuma sokong kepimpinan Wan Rosdy kekal hingga PRU seterusnya,” katanya.

Menurut Jasri, mereka akan terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kerana ia amanah yang diberikan pengundi.

Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus.

“Kita jalankan seperti biasa tugas di kawasan dan dalam masa sama, kita akan memberi kerjasama kepada pentadbiran negeri demi agenda pembangunan, kebajikan rakyat terpelihara.

“Dalam keadaan politik yang semakin dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan tadbir urus yang baik perlu dijadikan keutamaan,” katanya.

Dengan sokongan dua Adun Bersatu itu, Wan Rosdy kini mendapat sokongan 27 daripada keseluruhan 42 Adun Pahang.

Kerajaan negeri sebelum ini disokong 25 Adun, terdiri daripada 17 wakil BN dan lapan wakil PH.

Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada 15 Adun PAS dan dua Adun Bersatu yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket PN pada PRU15.

Pada Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hubungan kedua-dua parti dalam PN di peringkat negeri.

Pada PRU15, BN dan PN masing-masing memenangi 17 kerusi DUN Pahang, manakala PH memperoleh lapan kerusi.

BN kemudian membentuk kerajaan negeri selepas mencapai persefahaman dengan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS