Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin memulakan tindakan undang-undang terhadap Mynic Berhad bagi membongkar identiti pemilik sebuah portal berita dalam talian serta individu di sebalik artikel yang didakwa memfitnahnya.
Permohonan sivil Khairy terhadap pendaftar domain.my itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai identiti pemilik berdaftar focusmalaysia.my, yang didakwa menerbitkan artikel bertajuk "10 reasons Why KJ isn't PM material, Malaysians must carefully examine his past track record", pada 10 Mac.
New Straits Times melaporkan bahawa artikel tersebut dikaitkan dengan individu atau entiti yang menggunakan nama samaran 'pemerhati rasuah'.
Antara maklumat yang dituntut oleh Khairy termasuk identiti pemilik berdaftar atau nombor pendaftaran syarikat, alamat, e-mel dan nombor telefon, bersama-sama butiran pentadbiran dan perhubungan teknikal yang dihubungkan dengan domain tersebut.
Dia juga memohon rekod berhubung pendaftaran domain itu, termasuk tarikh pendaftaran asal dan tarikh luput, pendaftar bertauliah Mynic yang terlibat serta sebarang rekod yang menunjukkan perubahan pemilikan.
Menurut NST, dokumen mahkamah Khairy menyatakan bahawa identiti individu di sebalik nama samaran itu tidak diketahui, dan tidak dapat dipastikan tanpa campur tangan mahkamah.
Khairy dilaporkan berkata peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada Focus Malaysia Sdn Bhd pada 13 Mac. Walau bagaimanapun, syarikat itu menafikan memiliki laman web berkenaan dan menyatakan bahawa ia melepaskan keseluruhan perniagaannya sekitar tahun 2018.
Dalam afidavit balasan, Mynic dilaporkan mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai maklumat mengenai pemilik berdaftar domain berkenaan termasuk nama, alamat berdaftar, e-mel dan nombor telefon serta butiran hubungan pentadbiran dan teknikal.
Menurut NST, Mynic juga menyatakan pihaknya tiada halangan untuk mendedahkan maklumat terbabit sekiranya diarahkan mahkamah.
Mynic turut mendedahkan syarikat yang berdaftar sebagai pemilik domain pada 10 Mac 2026, iaitu ketika artikel didakwa berunsur fitnah itu diterbitkan, kekal sebagai pemilik berdaftar semasa.
Ia turut memaklumkan, tiada sebarang pertukaran pemilik berdaftar domain itu dikesan antara 10 Mac hingga 18 Jun lalu, iaitu tarikh Khairy memfailkan permohonan terbabit.
Bagaimanapun, Mynic membantah permohonan Khairy untuk mendapatkan dokumen surat-menyurat dan komunikasi antara pendaftaran domain itu, pihak yang berdaftar serta pendaftar bertauliah dengan alasan bahan terbabit tidak relevan atau tidak perlu bagi cadangan prosiding saman fitnah itu.
Ia juga menegaskan bahawa syarikat itu merupakan pihak ketiga yang tidak bersalah, dan bukan defendan yang dinamakan dalam saman fitnah Khairy.
Syarikat itu juga memohon indemniti terhadap sebarang kerugian, liabiliti, kos atau tuntutan yang timbul daripada pematuhan sebarang perintah pendedahan, selain kos permohonan dan pematuhan perintah berkenaan.
