Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aminuddin bela Solehah, dakwa usaha angkat Melayu ditekan
Diterbitkan:  Aug 27, 2026 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Ahli akademik Solehah Yaacob mempunyai kelebihan serta kekuatannya yang tersendiri dan sewajarnya dia mencabar keputusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menamatkan perkhidmatannya.

Bekas presiden bekas presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya, berkata tidak ramai ilmuan yang memiliki kebolehan seperti Solehah.

Bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, antara kelebihan Solehah ialah kebolehannnya membaca kitab klasik lama Arab dan bahasa Sanskrit.

"Amat malang ketika ramai pihak mahu menafikan kekuatan dan kegemilangan sejarah Melayu, kita pula yang melihat usaha-usaha untuk menaikkan bangsa sebagai satu yang salah. 

"Ketika orang lain berusaha melemahkan kita, kita pula seolah-olah menyokongnya. Lebih menyedihkan bila ada pula pihak menjadi ejen yang menekan segala usaha untuk mengangkat Melayu.

"Wajar untuk Prof (Solehah) challenge (mencabar) pengurusan di UIAM di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Aminuddin Yahaya

Pada 23 Ogos lalu, UIAM mengesahkan perkhidmatan Solehah sebagai kakitangan akademik universiti itu telah berakhir berkuat kuasa 27 April lepas.

Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM dalam kenyataan memaklumkan, Solehah tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor di universiti berkenaan atau mewakili UIAM dalam apa-apa perjawatan.

UIAM turut menegaskan penggunaan gelaran atau perjawatan yang berkait dengan universiti itu tidak dibenarkan dalam apa-apa bentuk bahan promosi, pelaporan media, penerbitan, pengiklanan, kandungan media sosial, bahan publisiti atau hebahan lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sementara itu, Aminuddin berkata Solehah telah menerbitkan pelbagai tulisannya dalam jurnal ilmiah.

"Ya, mungkin beliau tidak buat jurnal atau paper (kertas kerja) untuk present (pembentangan) yang menyebabkan kajian beliau tidak keluar dalam simpanan jurnal antarabangsa. 

"Tetapi itu tidak bermakna semua kajian beliau buat boleh dinafikan begitu saja," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS