Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mempersoalkan kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang bertegas menyatakan bahawa dirinya tidak akan kembali menyertai parti itu.
Anwar yang juga perdana menteri berkata, dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang pelawaan terhadap Mohamed Azmin untuk menyertai semula yang diterajuinya itu.
“Ada orang jemput ke? Ada pelawaan?
“Saya tak dimaklumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026, di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika disoal oleh wartawan bahawa dia sebelum ini merayu 'otai-otai' kembali ke landasan perjuangan PKR, Anwar menyoal semula: Ya, itu untuk otai. Dia (Azmin) otai?"
Anwar mengulas kenyataan setiasaha agung Bersatu itu, yang berkata dia tidak akan kembali menyertai PKR meskipun terdapat dakwaan mengenai pelawaan terhadap bekas anggota parti itu.
Pada Selasa lalu, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, dia tidak akan sesekali kembali menyertai parti lamanya.
Malah, Mohamed Azmin berkata, dia yakin Bersatu mampu menjadi wadah perjuangannya untuk meneruskan kelangsungan politik.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini, menyeru bekas pemimpin dan aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR.
Seruan Anwar itu dibuat ketika PKR kini berdepan masalah dalaman, ketegangan dengan BN serta menghadapi beberapa kekalahan dalam pilihan raya.
Susulan itu, beberapa bekas anggota termasuk bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman dilaporkan akan menyertai semula PKR.
Selain mereka, bekas naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan akan kembali menyertai parti itu.
Azmin, Kamarudin dan Mansor adalah antara 11 anggota parlimen PKR yang meninggalkan parti itu pada Februari 2020 semasa krisis politik yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton.
Azmin dipecat daripada PKR pada 24 Feb 2020 selepas parti itu menuduhnya melakukan "pengkhianatan terbuka".
Dia kemudiannya menyertai Bersatu dan kini adalah Adun Hulu Kelang.
