Empat kawasan Parlimen kritikal di Kedah
Dianggarkan separuh wakil rakyat di Kedah digugurkan dari senarai calon untuk pilihanraya umum 8 Mac ini atas faktor umur.
Mereka termasuk juga antara yang menarik diri untuk memberi laluan kepada muka baru.
"Mereka terdiri daripada pemimpin veteran... atau yang sudah berkhidmat selama empat penggal atau prestasi mereka tidak memuaskan," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kedah.
Dianggarkan separuh wakil rakyat di Kedah digugurkan dari senarai calon untuk pilihanraya umum 8 Mac ini atas faktor umur.
Mereka termasuk juga antara yang menarik diri untuk memberi laluan kepada muka baru.
"Mereka terdiri daripada pemimpin veteran... atau yang sudah berkhidmat selama empat penggal atau prestasi mereka tidak memuaskan," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kedah.
Exco kerajaan negeri yang memberi laluan ialah Prof Datuk Wira Haji Osman Ishak bagi kerusi DUN Jitra.
Turut memberi laluan ialah Adun Gurun, Datuk Beh Heng Seong, yang pengerusi MCA negeri, serta Adun Kuala Nerang, Datuk Afifudin Omar.
Bekas menteri besar Kedah, Datuk Syed Razak juga tidak akan dicalonkan kali ini.
Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN untuk dipertandingkan dalam pilihanraya umum kali ini.
Pada keseluruhannya, kira-kira separuh wakil rakyat diganti dan calon-calon baru merupakan kombinasi antara pemimpin veteran, Wanita dan Pemuda.
Kawasan kritikal
Empat kawasan Parlimen di Kedah dikategorikan sebagai kawasan kritikal ekoran wujudnya masalah dalaman dalam Umno bahagian.
Kawasan-kawasan berkenaan ialah Parlimen Baling, Kulim Bandar Baru, Sik dan Sungai Petani.
Di Sungai Petani difahamkan, penyandang kerusi tersebut, Datuk Mahadzir Mohd Khir masih berminat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, ada pihak dalam Umno bahagian berkenaan yang berpendapat beliau seharusnya berihat atas faktor kesihatan.
Manakala di Baling, ahli-ahli Umno di bahagian tersebut tidak mahu Datuk Dr Masitah Ibrahim dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Dr Masitah yang merupakan calon paracut dalam pilihanraya umum 2004 didakwa tidak memberi sumbangan yang diharapkan mereka.
"Pada 2004, PAS meletakkan Taib Azamuddin Md Taib, yang merupakan bekas imam besar Majis Negara bertanding di situ. Pada masa itu Dr Masitah dilihat mampu menyaingi ketokohan Taib di Parlimen Baling.
Calon PAS
Ekoran penolakan tersebut, Ketua Putera Umno, Datuk Aziz dijangka dicalon bertanding di situ.
"Itupun bergantung kepada calon PAS kali ini. Jika parti itu meletakkan Taib bertanding, mungkin Umno terpaksa calon lain yang berlatarbelakangkan agama," katanya.
Di Parlimen Kulim Bandar Baru pula, penyandangnya, bekas Menteri Penerangan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir dikatakan masih mahu mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal yang ketujuh.
Bagaimanapun, Umno negeri telah mencalonkan ahli Exco kerajaan negeri, yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim untuk bertanding di Parlimen tersebut.
Azimi yang sebelum ini mewakili DUN Bandar Baru adalah antara lapan nama yang dikemukakan oleh Pemuda Umno negeri untuk dipilih sebagai calon kali ini.
Daripada lapan nama tersebut, selain Azimi, Umno negeri telah memilih tiga lagi nama yang dicalonkan oleh Pemuda untuk bertanding 8 Mac ini.
"Kalau letak Azimi tentu ada kesannya. Datuk Kadir adalah ketua bahagian, beliau pegang jentera pilihanraya. Jadi, Azimi mesta ada jenteranya.
"Bagaimanapun, sudah jadi satu kebiasaan kepada orang Umno...mula-mula bantah tetapi akhirnya mereka akan ikut sokong juga...," katanya.
Setiausaha politik PM
Adik Abdul Kadir, yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Aziz Sheikh Fadzir dijangka kekal di kerusi DUN Kuala Ketil.
Di Sik pula, penyandangnya, Datuk Dr Wan Azmi Wan Ariffin dikatakan bersedia memberi laluan kepada calon lain.
Namun, difahamkan, penasihat agama Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Osman berminat bertanding di situ.
Bagaimanapun, difahamkan, Umno negeri telah mencalonkan nama dua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa dan Datuk Hasbullah Lebai Isa, untuk dipilih bertanding di Sik.
Kawasan Sik dianggap kritikal kerana dalam pilihanraya umum lalu, Dr Wan Azmi menang tipis, dengan menewaskan Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak dengan 319 undi sahaja. Dr Wan Azmi mendapat 15,357 undi manakala Azizan pula memperolehi 15,038 undi.
Begitu juga dengan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Sik - Belantek dan Jeneri. Pada 2004, calon BN, Ismail Harun memang dengan majoriti 640 undi sahaja, manakala Belantek dimenangi calon PAS, Mohd Isa Shafie dengan majoriti 51 undi sahaja.
Ekoran itu, kata sumber -sumber tersebut, pemilihan calon untuk Parlimen Sik, DUN Belantek dan DUN Jeneri amat penting kali ini.
Peluang Mukhriz tipis
"Ramai yang perasaan Datuk Osman sering kelihatan di Sik... tapi tak tahulah untuk kerja-kerja parti parti ke atau peribadi....," katanya.
Datuk Mukhriz Mahathir juga menghadap kesukaran untuk mendapatkan tempat untuk bertanding kali ini.
Walaupun beliau dilaporkan telah menawarkan diri bertanding di Langkawi, tetapi nampaknya, pengundi di pulau peranginan itu mahukan calon di kalangan orang tempatan.
"Datuk Mukhriz tidak popular di Kedah...orang kaitkan Langkawi dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk membalas jasa Dr Mahathir, ada yang cadangkan Datuk Mukhriz bertanding di sana," kata sumber-sumber itu.
Bagaimanapun, menurut mereka, orang Langkawi tolak Mukhriz dan mahukan calon di kalangan orang tempatan.
Menurut sumber-sumber tersebut, Umno negeri juga berkeyakinan dapat merampas semula Parlimen Pendang yang diwakili oleh Dr Mohd Hayati Othman dari PAS. Pada 2004, wakil BN dari Umno, Rozai Shafian yang tewas dengan majoriti 50 undi sahaja.
Dalam Pilihanraya umum tersebut, Rozai memperolehi 24,380 undi manakala Dr Hayati mendapatkan 24,430 undi.
Terdapat dua kawasan DUN di bawah Parlimen Pendang, iaitu Tokai yang dimenangi PAS dan Sungai Tiang yang dimenangi oleh BN pada 2004.
Faktor Tokai
Bagaimanapun, sumber-sumber itu berkata, jika BN dapat menarik 20 peratus undi di DUN Tokai maka parti itu berpeluang merampas semula Pendang 8 Mac ini.
Manakala DUN Sungai Tiang, tambahnya, memang merupakan kawasan selamat Umno.
"Kalau dapat tarik 20 peratus undi, maka Umno boleh menang semula Parlimen Pendang, kerana ia pernah dimilik Umno sebelum ini," katanya.
Menurut, Tokai memang selama ini merupakan kubu kuat PAS sejak zaman Allahyarham Datuk Fadzir Noor lagi.
"Bagaimanapun, sejak akhir-akhirnya nampak kecenderungan para pengundi ke arah Barisan Nasional dan kita harap arus perubahan itu berterusan sehingga 8 Mac depan," katanya.
Bagaimanapun, kata sumber-sumber tersebut, kedudukan Rozai masih 50-50 untuk dipilih bertanding semula di kerusi yang sama.
Selain Pendang, PAS memenangi lima DUN di Kedah, iaitu Belantek, Anak Bukit, Tokai, Bukit Pinang dan Sungai Limau.
Pada keseluruhanya, kata sumber-sumber, Umno Kedah yakin mampu merampas semula tiga DUN - Belantek, Anak Bukit dan Bukit Pinang.
"DUN Tokai dan DUN Sungai Limau masih dianggap 50-50," tegas sumber-sumber tersebut.
Difahamkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid berada di Putrajaya hari ini untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung senarai calon BN di Kedah.

