Kematian empat sekeluarga di Kepong, Kuala Lumpur, mendorong bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa kerajaan menyelami tekanan sosial dan ekonomi yang mungkin menjadi pencetus tragedi keluarga.
Dia berkata kerajaan perlu memberikan lebih perhatian terhadap kebajikan golongan rentan dan bukan hanya menumpukan usaha memerangi rasuah.
“Saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melakukan segala yang mungkin untuk mengenal pasti perkara yang mendorong kejadian mengerikan seperti ini. Ia begitu tragis dan kerap berlaku,” kata Zaid menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, polis menemukan mayat sepasang suami isteri bersama dua anak mereka—kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun—di sebuah kondominium di Desa ParkCity.

Polis percaya lelaki berusia 48 tahun itu terjatuh dari unit kondominium berkenaan manakala isteri serta dua anak mereka ditemukan meninggal dunia di dalam rumah dengan kecederaan parah pada leher.
Sebilah pisau turut ditemukan di lokasi dan dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata polis masih berusaha mengenal pasti motif serta keadaan sebenar kejadian.
Kematian tiga mangsa di dalam rumah disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh manakala laporan mati mengejut dibuka berhubung kematian lelaki berkenaan.
Kesempitan hidup?
Tanpa mengemukakan bukti bahawa keluarga itu menghadapi masalah kewangan, Zaid mempersoalkan sama ada kemiskinan atau hutang dengan ceti haram mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tragedi seumpamanya.
“Adakah disebabkan kemiskinan dan kehidupan yang tidak tertanggung, atau mereka menjadi mangsa Ah Long atau apa,” soalnya.
Dia turut menggesa kerajaan sentiasa memantau kebajikan kelompok masyarakat yang mudah terjejas.

“Kerajaan mesti sentiasa memantau denyut nadi rakyat, khususnya kelompok paling rentan,” katanya.
Menurut Zaid, kerajaan boleh meneruskan usaha memerangi rasuah tanpa mengabaikan kesusahan yang dihadapi rakyat.
“Teruskan kempen pendakwaan bermotif politik berkaitan undang-undang sakau anda dan hapuskan mereka yang rasuah, tetapi ada kesusahan yang berpunca daripada mereka yang berkuasa dan tidak cukup mengambil berat tentang kebajikan rakyat,” katanya.
Kes menyayat hati
Zaid berkata tragedi di Kepong itu mengingatkannya kepada kejadian serupa di Kuantan pada Februari lalu.
Dalam kejadian berkenaan, seorang pengawal keselamatan berusia 32 tahun dipercayai membunuh isterinya, dua anak perempuan mereka yang masih kecil serta ibunya yang berusia 55 tahun sebelum membunuh diri.
Menurut New Straits Times, polis percaya lelaki itu mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam sebelum membunuh diri.
Polis ketika itu berkata kesulitan kewangan mungkin menjadi motif kejadian manakala lelaki berkenaan dilaporkan tidak mempunyai rekod penyakit mental.
Dalam satu lagi kejadian menyayat hati pada November lalu, seorang wanita berusia 30 tahun dan anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Kulim, Kedah.
Menurut polis, siasatan awal menunjukkan wanita itu dipercayai cuba membunuh kedua-dua anaknya sebelum membunuh diri. Bagaimanapun, anak lelakinya yang berusia tujuh tahun terselamat.
Polis turut menemukan sekeping nota mengandungi permohonan maaf wanita berkenaan serta menyatakan dia tidak lagi mampu menanggung penderitaan emosi.
Bunuh diri merupakan fenomena kompleks yang mempunyai pelbagai faktor penyumbang, tetapi ia boleh dicegah dan pemulihan adalah mungkin.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang berdepan kesukaran, anda tidak bersendirian. Sila dapatkan bantuan:
Talian Kasih: 15999 (panggilan) / +6019-261 5999 (WhatsApp)
Talian HEAL Kementerian Kesihatan: 15555 (setiap hari, 8 pagi hingga 12 tengah malam)
Talian Befrienders: 03-7627 2929
Talian Pusat Kaunseling Agape Malaysia: 03-7785 5955 atau 03-7781 0800
