Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Cabaran Anwar lebih besar dari sekadar rasuah

ULASAN | Malaysia sudah terlalu lama berdepan isu gaji rendah. Gaji pekerja memang meningkat dari semasa ke semasa, tetapi jurang antara golongan berpendapatan rendah dan yang berada di atas masih besar.

Pada Mac lalu, 10 peratus pekerja formal paling bawah menerima gaji bulanan RM1,700 atau kurang, sedangkan mereka di kelompok 10 peratus teratas menerima sekurang-kurangnya RM11,500.

Masalah ini bukan sekadar soal inflasi atau kadar gaji minimum.

Ia datang daripada struktur ekonomi yang terlalu lama bergantung kepada tenaga kerja murah, produktiviti yang tidak meningkat dan pengagihan pendapatan yang tidak seimbang.

Banyak asas ekonomi ini terbentuk sepanjang puluhan tahun pemerintahan BN. Kerajaan selepasnya kemudian mewarisi masalah yang bukan mudah diselesaikan dalam satu penggal.

Namun sampai satu tahap, sejarah tidak lagi boleh dijadikan alasan. Kerajaan hari ini tetap perlu mencari jalan untuk menaikkan pendapatan rakyat dan pada masa yang sama tidak membunuh perniagaan yang menyediakan pekerjaan.

Sebab itu cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menjadikan RM3,100 sebagai gaji minimum perlu dilihat dengan lebih rasional. Angka itu bukan datang secara suka-suka.

Jumlah RM3,100 sudah digunakan sebagai penanda aras gaji kehidupan bagi pekerja tetap dalam kalangan GLC dan GLIC tertentu.

Harga tetap naik, cuma perlahan

MTUC juga betul apabila membangkitkan masalah pekerja yang sudah berkhidmat bertahun-tahun tetapi gajinya masih terlalu hampir dengan kadar minimum.

Jika seseorang sudah bekerja 10 tahun, mempunyai pengalaman dan memikul tanggungjawab lebih besar, tidak munasabah kalau gajinya hampir sama dengan pekerja yang baru masuk.

Malaysia bukan saja mempunyai masalah gaji minimum yang rendah. Kita juga mempunyai masalah tangga gaji yang terlalu perlahan.

Dari sudut pekerja, RM1,700 memang semakin sukar dianggap mencukupi, terutamanya di bandar besar.

Selepas potongan wajib, baki pendapatan perlu menampung sewa rumah, makanan, pengangkutan, bil dan keperluan keluarga.

Belanjawanku sendiri menunjukkan kos kehidupan asas di Lembah Klang sudah jauh melepasi angka tersebut dalam banyak keadaan.

Inflasi pula mungkin hanya sekitar 1.8 peratus pada Julai lalu, tetapi ia bukan bermaksud harga dan kos hidup sudah turun. Ia hanya bermaksud harga naik dengan lebih perlahan.

Barang yang sudah mahal tetap mahal. Ini realiti yang kadangkala tidak dapat diterangkan hanya dengan angka makroekonomi.

Tetapi menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 terus kepada RM3,100 juga bukan keputusan kecil. Itu lonjakan RM1,400 atau 82.4 peratus dalam tempoh satu masa. Malah RM3,100 sudah melebihi median gaji pekerja formal negara yang berada sekitar RM3,027 pada Mac lalu.

KL, KB dan Kangar tak sama

Kalau RM3,100 dijadikan gaji asas minimum, majikan bukan hanya perlu menaikkan gaji pekerja RM1,700.

Pekerja yang sekarang menerima RM2,200, RM2,600 atau RM3,000 juga akan bertanya kenapa pengalaman, kemahiran dan tanggungjawab mereka kini hampir sama nilainya dengan pekerja baru.

Akhirnya keseluruhan struktur gaji perlu disusun semula.

Perbezaan antara negeri juga besar. Median gaji formal di Kuala Lumpur ialah sekitar RM4,527 tetapi hanya RM1,827 di Kelantan, RM1,855 di Perlis dan RM2,082 di Sabah.

Jumlah RM3,100 mungkin semakin munasabah sebagai gaji kehidupan di Lembah Klang, tetapi impaknya terhadap sebuah perniagaan kecil di Kota Bharu, Kangar atau kawasan tertentu di Sabah tidak sama.

Malaysia memang perlu menuju kepada gaji yang lebih tinggi, tetapi tidak realistik untuk menganggap setiap negeri mempunyai tahap produktiviti, kos operasi dan kemampuan perniagaan yang sama.

Kenaikan gaji tetap mempunyai banyak manfaat. Kuasa beli pekerja meningkat, caruman KWSP bertambah, kemampuan membayar hutang menjadi lebih baik dan lebih banyak wang beredar dalam ekonomi domestik.

Kos buruh yang lebih tinggi juga boleh memaksa syarikat untuk terlalu bergantung kepada tenaga kerja murah dan mula melabur dalam automasi, teknologi dan latihan.

Malaysia tidak boleh bercakap mahu menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi pada masa yang sama terus mempertahankan model perniagaan berasaskan gaji murah.

Perhatikan aspek lain juga

Beban majikan juga perlu diambil kira. Gaji seorang pekerja yang dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM3,100 bermaksud majikan menambah RM16,800 setahun kepada kos gaji asas. Itu belum termasuk caruman dan kos lain.

Kalau ada 20 atau 50 pekerja, jumlahnya lebih besar. Ini penting kerana perusahaan mikro, kecil dan sederhana membentuk lebih 96 peratus daripada pertubuhan perniagaan di Malaysia.

Ada syarikat yang mampu membayar. Ada yang akan menaikkan harga. Ada yang akan mengurangkan pekerja, tidak mengambil pekerja baru atau mempercepatkan automasi.

Dasar yang baik tidak sepatutnya menyebabkan gaji atas kertas naik tetapi peluang pekerjaan pula berkurangan.

Penyelesaian yang lebih masuk akal ialah membina tangga gaji yang betul. Gaji minimum perlu terus dinaikkan secara berperingkat, tetapi kenaikan berdasarkan kemahiran, pengalaman, produktiviti dan tempoh perkhidmatan juga perlu diberi perhatian.

GLC, syarikat besar dan sektor berproduktiviti tinggi sepatutnya bergerak lebih pantas ke arah RM3,100, manakala perusahaan kecil diberi tempoh dan bantuan untuk menyesuaikan diri.

Bantuan automasi, latihan pekerja, insentif cukai dan akses kepada teknologi perlu berjalan seiring dasar gaji. Pada masa sama, kerajaan juga perlu mengurangkan beban kehidupan.

Rumah sewa yang munasabah, pengangkutan awam yang baik, penjagaan kanak-kanak yang lebih murah dan sistem kesihatan yang boleh diakses memberi kesan terus kepada pendapatan sebenar rakyat.

Gaji naik RM500 tidak banyak membantu andai sewa, makanan dan pengangkutan naik RM500 juga.

Bagi orang Melayu dan bumiputera, persoalan ini lebih sensitif.

Dasar ekonomi selama berdekad-dekad memang berjaya melahirkan golongan profesional, usahawan dan pemilik aset bumiputera yang berjaya.

Institusi yang tanggung rugi

Data terbaru juga menunjukkan ketidaksamaan pendapatan isi rumah bumiputera semakin baik antara 2022 dan 2024.

Tetapi masih banyak keluarga bumiputera di tingkat bawah dan pertengahan yang bergelut dengan gaji, rumah, hutang dan kos membesarkan anak.

Selepas puluhan tahun dasar afirmatif berjalan, ukuran kejayaan tidak boleh lagi hanya pada berapa ramai Melayu yang mampu menjadi jutawan. Ukurannya juga mesti pada berapa ramai keluarga Melayu biasa yang mampu bergerak dari B40 ke M40 tanpa bergantung selamanya kepada subsidi dan bantuan kerajaan.

Di sinilah isu rasuah dan tadbir urus masuk dalam perbincangan ekonomi.

Rasuah bukan satu-satunya sebab gaji rendah, manakala semua masalah fiskal negara juga tidak boleh dipersalahkan kepada gejala itu.

Tetapi setiap kebocoran besar menyebabkan pilihan kerajaan menjadi lebih sempit.

Apabila harga projek dinaikkan untuk komisen atau rasuah, kerajaan membayar lebih untuk benda yang sama. Apabila pelaburan awam gagal kerana salah urus, institusi menanggung kerugian.

Apabila projek tidak sempurna, kerajaan membayar untuk membina dan kemudian membayar sekali lagi untuk membaiki. Duit yang hilang itu bukan sekadar angka.

Ia adalah duit yang sepatutnya boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, jalan raya, biasiswa, subsidi atau bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Malaysia sudah mempunyai cukup contoh untuk memahami perkara ini.

Salah atau tidak, tetap penting

Kes 1MDB menjadi simbol bagaimana kuasa politik, dana awam dan kelemahan institusi boleh menghasilkan kerosakan yang mengambil masa sangat lama untuk diperbaiki.

Sebab itu apabila timbul isu berkaitan Felda atau Lembaga Tabung Haji, ia tidak boleh dilihat seperti masalah syarikat biasa. Institusi ini membawa kepentingan dan harapan orang Melayu.

Kalau berlaku salah urus atau salah guna kuasa, yang menanggung akibat akhirnya bukan mereka yang duduk dalam bilik mesyuarat, tetapi peneroka, pendeposit dan pembayar cukai.

Dalam soal ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar diberi kredit. Tindakan susulan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji sudah bergerak kepada siasatan dan tangkapan beberapa bekas pegawai kanan serta individu berkaitan.

Sudah tentu tangkapan bukan bermaksud seseorang itu bersalah. Proses undang-undang mesti dihormati, tetapi kesediaan membenarkan siasatan sampai kepada bekas pemegang jawatan tinggi adalah penting.

Perkara sama perlu berlaku kepada Felda. Jika wujud salah laku, maka pangkat, parti, kaum atau jawatan tidak sepatutnya menjadi perlindungan.

Kalau tiada salah laku, siasatan yang telus juga penting untuk membersihkan nama mereka yang tidak bersalah.

Perjuangan antirasuah ini akhirnya mesti memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Setiap ringgit yang hilang melalui rasuah, projek terlebih harga atau pengurusan yang cuai mengurangkan kemampuan kerajaan untuk melakukan perkara lain.

Apabila wang semakin sempit, pengambilan kakitangan ditangguh, penyelenggaraan dipotong, projek pembangunan disusun semula, biasiswa dikurangkan dan subsidi perlu disasarkan kepada kumpulan tertentu.

Rasuah tidak perlu menyebabkan sesebuah negara bankrap dalam satu malam untuk menyusahkan rakyat. Ia cukup dengan menyebabkan setiap ringgit hasil negara memberikan pulangan yang semakin kecil.

Model mampu untuk semua

BN perlu memikul tanggungjawab terhadap banyak kelemahan struktur dan kegagalan tadbir urus yang terbentuk sepanjang puluhan tahun pemerintahannya.

Tetapi itu juga tidak boleh menjadi alasan selama-lamanya. PH dan PN sudah sama-sama mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Persekutuan sejak 2018 dalam susunan yang berbeza.

Masalah struktur memang mengambil masa untuk diperbaiki, tetapi reformasi akhirnya mesti menghasilkan perubahan yang boleh dilihat dan dirasai.

Di sinilah Anwar akan dinilai. Dalam isu rasuah, tindakan membuka semula fail yang sensitif dan membenarkan institusi seperti Tabung Haji serta Felda diperiksa dengan lebih mendalam adalah langkah yang betul.

Dalam isu gaji, kerajaan sudah menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 dan membawa idea gaji kehidupan RM3,100 melalui GLIC dan GLC.

Tetapi ujian sebenar ialah bagaimana kerajaan menaikkan pendapatan pekerja tanpa menekan perusahaan kecil sehingga mereka tidak lagi mampu menggaji.

Memihak kepada pekerja semata-mata tidak menyelesaikan masalah jika perniagaan tutup. Memihak kepada majikan semata-mata pula tidak boleh diterima kalau pekerja terus hidup dengan gaji yang tidak mencukupi.

Masalah Malaysia akhirnya lebih besar daripada angka RM1,700, RM2,000 atau RM3,100. Gaji lebih tinggi, produktiviti lebih baik, kos hidup yang terkawal dan kerajaan yang lebih bersih perlu bergerak bersama.

Gaji RM3,100 boleh menjadi sasaran, tetapi tidak semestinya menjadi tumpuan nasional secara serta-merta. Matlamat sebenar ialah membina ekonomi yang mampu membayar RM3,100 tanpa majikan menganggapnya luar biasa dan tanpa pekerja menganggapnya kemewahan.

Anwar sudah memulakan sebahagian daripada kerja itu, terutama dalam soal tadbir urus dan antirasuah. Tetapi ukuran kejayaan akhirnya bukan pada berapa banyak siasatan dibuka atau berapa ramai ditangkap.

Ukurannya ialah sama ada institusi menjadi lebih sukar disalah guna, wang rakyat lebih selamat dan perubahan ekonomi akhirnya sampai kepada pekerja yang setiap hujung bulan masih melihat angka yang sama pada slip gajinya.


MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan yang kini menganggotai PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS