Bekas menteri sumber manusia M Saravanan menegaskan dia tidak pernah meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menutup dakwaan rasuah terhadapnya, sebaliknya hanya mahu perkara itu disiasat secara telus.
“Saya tak meminta untuk bantu saya menyelesaikan (perkara ini), tetapi membantu untuk (memastikan) siasatan telus.
"Saya sudah katakan dari awal, ini tuduhan liar,” katanya, merujuk surat yang dihantarnya kepada Anwar dan kemudian tular.
Saravanan berkata dia sudah berbincang dengan Anwar mengenai isu itu sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, dia menulis kepada Anwar kerana perdana menteri itu merupakan “bosnya”. Dia turut menegaskan dirinya sebahagian daripada kerajaan Madani dan menyokong pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.
Saravanan juga berkata dia tidak mengenali individu yang dinamakan dalam dakwaan berkenaan, selain merujuk kewujudan kertas kabinet berkaitan perkara itu.
Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, timbalan presiden MIC itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta yang didakwa sebagai dorongan dan upah untuk meluluskan kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat pada 2022.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Saravanan menulis surat kepada Anwar berhubung kes itu dan mendakwa beberapa individu ditekan supaya memberikan kenyataan yang mengaitkannya.

Dalam surat bertarikh 24 Ogos yang dilihat Malaysiakini, Saravanan mendakwa dia dan keluarganya tidak pernah terbabit secara langsung dalam pengambilan pekerja asing.
Menurut Saravanan, dua ahli perniagaan pernah ditahan berhubung siasatan pengambilan pekerja asing itu.
Seorang daripada mereka, Syed Amirul Syed Ahmad, meninggal dunia pada 28 Julai lalu. Surat berkenaan turut menyatakan seorang lagi individu terbabit menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Saravanan mendakwa kedua-dua individu itu ditekan supaya memberikan kenyataan yang mengaitkannya dengan kes berkenaan. Dakwaan tersebut belum disahkan secara bebas.
SPRM paksa saksi ‘petik’ Saravanan - peguambela
Nama Syed Amirul disebut dalam pertuduhan terhadap Saravanan hari ini.
Mengikut pertuduhan, ahli parlimen Tapah itu didakwa menerima suapan daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, menerusi Syed Amirul.
Peguam Saravanan, Geethan Ram Vincent, pula mendakwa Syed Amirul menandatangani beberapa akuan berkanun (SD) berhubung perkara itu dan SPRM mengetahui kewujudan dokumen berkenaan.
“Syed Amirul, yang merupakan saksi utama SPRM, menyatakan dalam SD berkenaan bahawa dia ditekan atau dipaksa untuk mengaitkan Saravanan.

“Pada hakikatnya, mendiang berkata tiada kaitan dengan Saravanan. Dia (Syed Amirul) turut mengisytiharkan bahawa dia tidak pernah berhubung dengan Saravanan.
“Inilah yang dinyatakan saksi utama SPRM, yang namanya disebut dalam pertuduhan, menerusi SD berkenaan. Saya percaya dia membuat dua akuan untuk menyatakan pendiriannya,” kata Geethan.
Dakwaan pihak pembelaan mengenai paksaan terhadap Syed Amirul serta kandungan SD berkenaan belum diuji di mahkamah. Dakwaan bahawa mendiang merupakan saksi utama SPRM juga belum disahkan secara bebas.
